'Cakap kena serupa bikin' - Dr Halimah

Dr Halimah - Foto Asril Aswandi Shukor
Dr Halimah - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali mengingatkan sesiapa sahaja yang mengendalikan duit rakyat agar mengamalkan tadbir urus yang baik, mempunyai akauntabiliti dan bersifat telus.

Menurutnya, rakyat Malaysia pastinya tidak akan mempertikaikan akta atau dasar yang bagus melibatkan kawalan kewangan kerajaan bagi memastikan segala perancangan, tindakan dan operasi mengurus tadbir untuk mencapai rakyat yang sejahtera, makmur, sihat serta bahagia terlaksana.

“Tapi, saya nak ingatkan kerajaan, mesti ada kemahuan politik. Kita tahu Malaysia banyak terpalit dan popular dengan masalah ketirisan, penyelewengan dan kehilangan duit rakyat.

“Jadi, saya mahu kerajaan dan kita semua yang mengendalikan duit rakyat agar benar-benar cakap serupa bikin dan bikin serupa cakap supaya tidak ada ketirisan, menghapuskan korupsi, kronisme, nepotisme, ‘rule of law’ dan tiada campur tangan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Tambah Halimah, beliau turut mengalu-alukan akta yang ingin dibuat, melibatkan peruntukan mengenai kebertanggungjawaban, tadbir urus dan ketelusan kerajaan dalam menguruskan kewangan awam dan risiko fiskal.

Jelasnya, jika kakitangan kerajaan dapat diterapkan dengan nilai-nilai murni dalam melaksanakan dasar berkenaan, mereka boleh melaksanakan tanggungjawab tanpa risau dengan arahan yang terbalik daripada prinsip dasar itu, iaitu tiada campur tangan politik atau wahyu.

Artikel Berkaitan: