SMK Dato Harun lunas dendam

SMK Datuk Harun menjuarai Piala Sumbangsih selepas menewaskan SMK Shah Alam. - Foto Sinar Harian/Mohd Rafeq Redzuan
SMK Datuk Harun menjuarai Piala Sumbangsih selepas menewaskan SMK Shah Alam. - Foto Sinar Harian/Mohd Rafeq Redzuan
A
A
A

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Harun, Tanjung Karang berjaya menewaskan juara bertahan, SMK Shah Alam 3-1 untuk menjulang Piala Sumbangsih kategori Bawah 18 Tahun Piala Dato' Mokhtar Dahari di padang bola sepak sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19 pada Rabu.

Ia menebus dendam SMK Dato Harun yang tewas kepada pasukan sama musim lalu sekali gus kembali membawa pulang Piala Sumbangsih yang dimenangi mereka pada edisi 2021 lalu.

Dalam aksi sengit itu, SMK Dato Harun membuka tirai jaringan menerusi Nur Arif Shahmi Mohamed Shah sebelum Muhamad Akhbar Hizal menyamakan kedudukan untuk SMK Shah Alam.

Muhamad Adam Adi Saaban dan Muhammad Aiman Mohammad Jamjuri masing-masing meledak satu gol untuk mengesahkan kemenangan sekali gus memastikan pasukan itu bermula langkah kanan menjelang kejuaraan Piala Dato' Mokhtar Dahari.

ketua Jurulatih Pusat SMK Dato Harun, Mohammad Zaki Kahar berkata, para pemain menunjukkan komitmen tinggi walaupun diberikan tentangan sengit oleh lawan.

"Saya dah beritahu pemain bahawa perlawanan ini bukan sahaja kita nak menang tetapi nak membalas kemenangan pihak lawan tahun lepas.

"Ini juga suntikan semangat pertama untuk kami dan mahu terus menang dalam perlawanan seterusnya iaitu pada Piala Dato' Mokhtar Dahar," katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Kejuaraan Piala Dato' Mokhtar Dahari edisi kali ini membabitkan penyertaan 32 pasukan sekolah menengah mewakili 10 daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Selangor.

Artikel Berkaitan:

Saingan mendapat penajaan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) bagi kategori Bawah 18 tahun dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi kategori Bawah 15 tahun.

Juara Piala Dato' Mokhtar Dahari Kategori Bawah 18 tahun akan membawa pulang RM10,000, naib juara RM7,000, tempat ketiga RM5,000 dan keempat RM3,000.

Sementara itu, juara Piala Dato' Mokhtar Dahari Kategori Bawah 15 tahun pula akan menerima RM8,000, naib juara RM6,000, ketiga RM4,000 dan keempat RM2,000.