SPR adakan mesyuarat khas PRK Kemaman 17 Oktober ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 17 Oktober ini.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya telah menerima Laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen yang membatalkan keputusan bagi Parlimen P040 Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lepas.

Beliau berkata, sehingga tamat tempoh 14 hari rayuan, tiada notis rayuan difailkan terhadap keputusan itu.

"Sehubungan itu, selaras dengan Seksyen 36C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengeluarkan notis pilihan raya bagi mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir ditetapkan untuk pemfailan rayuan," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Ikmalrudin berkata, mesyuarat khas itu, yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh, dijangka membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti hari bagi writ pilihan raya, penamaan calon serta pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

Beliau berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.

Pada 26 September lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Oktober lepas, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: