PGA lepaskan dua tembakan, tahan kenderaan bawa PATI

Trak pikap yang digunakan oleh suspek untuk membawa PATI.
Trak pikap yang digunakan oleh suspek untuk membawa PATI.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah trak pikap berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan padang sebuah sekolah di Palekbang, Tumpat pada Selasa.

Dalam kejadian jam 6.58 petang itu, kesemua PATI yang ditahan berasal dari India dan Myanmar manakala seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun turut ditahan dipercayai bertindak sebagai transporter.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas maklumat, anggota PGA ternampak sebuah trak pikap jenis Nissan Navara yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di hadapan Klinik Kesihatan Tumpat.

"Pihak kami bertindak mengekori kenderaan tersebut dan mengarahkan pemandu untuk berhenti.

"Namun, pemandu bertindak memecut kenderaan ke arah Palekbang dan setelah sampai di lokasi persimpangan lampu isyarat, anggota kami telah turun dari kereta dan menghampiri kenderaan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, suspek sekali lagi bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U dan semasa mengundurkan kenderaan dipandu, anggota bertindak melompat ke bahagian ruang belakang trak pikap itu untuk menyelamatkan diri daripada dilanggar..

Ujarnya, pada masa sama suspek bertindak melanggar kereta dibawa oleh anggota PGA dan melarikan diri bersama seorang lagi anggota yang masih berada di ruang kenderaan terbabit.

Muhamad Zaki memberitahu, suspek memecut kenderaannya secara berbahaya ke arah Morak.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mengelakkan bahaya dan demi keselamatan orang awam, anggota terbabit telah melepaskan dua das tembakan di bahagian tayar belakang sebelah kanan menyebabkan tayar trak pikap terbabit pecah, namun suspek tetap memecut kenderaan ke kawasan padang sebuah sekolah di Palekbang sebelum berhenti.

"Hasil pemeriksaan mendapati pemandu warga tempatan membawa tujuh PATI terdiri dari dua lelaki dan dua wanita India serta tiga lelaki Myanmar yang berada di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan itu turut menjumpai satu plastik lut sinar di dalamnya terdapat sebutir pil warna kemerahan disyaki dadah.

Ujarnya, kesemua suspek ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat untuk tindakan selanjutnya.

"Suspek yang memandu kenderaan itu didapati mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkait kes narkotik dan ditahan di bawah SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012).

"Manakala tujuh PATI terbabit ditahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes disiasat bawah Seksyen 26 A ATIPSOM (Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007) 2007 / 6(1)(c) Akta Imigresen 1963," ujarnya.