Gagal seludup trak pikap melalui Sungai Golok

ATM menggagalkan cubaan menyeludup sebuah trak pikap ke negara jiran melalui Sungai Golok di Jeli dalam serbuan pada Sabtu.
ATM menggagalkan cubaan menyeludup sebuah trak pikap ke negara jiran melalui Sungai Golok di Jeli dalam serbuan pada Sabtu.
A
A
A

JELI - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggagalkan cubaan menyeludup sebuah trak pikap ke negara jiran melalui Sungai Golok di sini dalam serbuan pada Sabtu.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, rampasan jam 9.35 pagi itu hasil rondaan rutin yang dilakukan di sektor kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

"Bertindak atas maklumat risikan, anggota bertugas berjaya menjejaki sebuah trak pikap yang dipercayai kenderaan curi.

"Ia dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui Sungai Golok," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sejurus kehadiran anggota bertugas, pemandu bertindak melarikan diri menyeberangi Sungai Golok dengan meninggalkan kenderaan tersebut di pinggir sungai.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati trak pikap yang ditinggalkan itu jenis Toyota Hilux.

Tambah kenyataan itu lagi, anggaran rampasan dianggarkan bernilai RM149,880.

"Trak pikap tersebut akan direkodkan sebagai Barang Rampasan Tanpa Tuan dan kes diserahkan Balai Polis Ayer Lanas untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan operasi akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan di sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penyeludupan," katanya.