Sokongan kerajaan, kelancaran AHTV jadi contoh kepada pelabur - PM

ANWAR
ANWAR
A
A
A
KUALA LUMPUR - Sokongan kerajaan serta kelancaran Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) akan menjadi contoh kepada pelabur terhadap pendekatan Malaysia dalam memudah cara pelaburan dengan cekap dan pantas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan Projek AHTV bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Proton City, Tanjong Malim, pada Rabu berharap agar projek ini berjaya seperti yang dirancang.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Anwar berkata, AHTV adalah satu projek mega membabitkan pelaburan berjumlah RM32 bilion yang dipelopori syarikat Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd bersama-sama DRB-Hicom Bhd.

"Ia bakal mengubah Tanjong Malim menjadi sebuah hab automotif global untuk kenderaan tenaga baharu (NEV) sambil dikembangkan mencakupi pembangunan tenaga kerja, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembandaran.

"Usai mesyuarat, saya menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi Utama antara DRB-HICOM dan Geely sebagai komitmen kedua-dua pihak dalam sama-sama menjayakan AHTV,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pemeteraian Dasar-Dasar Utama Perjanjian antara Altel dan Geespace Technology, syarikat pelaburan strategik Geely, yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pelaksanaan sistem teknologi tinggi serta memangkin pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi sektor seperti pelabuhan pintar. - Bernama.