Dua ahli DAP tarik balik rayuan keputusan saman fitnah

Mahkamah dapati Tony Pua (tengah) dan Bee Yin (kanan) bertanggungjawab memfitnah Mei Fun (kiri) melalui tiga artikel disiarkan dalam portal berita online The Malay Mail, Free Malaysia Today dan Nanyang Siang Pau pada tahun 2017.
Mahkamah dapati Tony Pua (tengah) dan Bee Yin (kanan) bertanggungjawab memfitnah Mei Fun (kiri) melalui tiga artikel disiarkan dalam portal berita online The Malay Mail, Free Malaysia Today dan Nanyang Siang Pau pada tahun 2017.
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua ahli politik DAP pada Rabu menarik balik rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar RM350,000 kepada bekas setiausaha agung MCA Datin Paduka Chew Mei Fun kerana memfitnah.

Mei Fun turut menarik balik rayuan balasnya terhadap kuantum ganti rugi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Supang Lian, Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Wong Kian Kheong kemudiannya membatalkan rayuan serta rayuan balas itu tanpa perintah berhubung kos.

"Kami berterima kasih kepada pihak yang capai penyelesaian hari ini," kata Hakim Supang yang mempengerusikan panel itu.

Terdahulu, peguam Shahredzan Johan yang mewakili Tony Pua dan Yeo Bee Yin memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menarik balik rayuan mereka tanpa sebarang kos.

Peguam Mei Fun, Rueben Mathiavaranam pula mengesahkan perkara itu dan berkata anak guamnya menarik balik rayuan balasnya tanpa sebarang arahan berkaitan kos.

Pada 30 November lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan Tony Pua, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Damansara membayar RM200,000 dan Bee Yin, bekas Menteri Tenaga, Sains, teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am dan teruk kepada Mei Fun selepas mendapati mereka bertanggungjawab kerana memfitnah Mei Fun.

Ketika dihubungi Bernama, Rueben berkata susulan penarikan rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi kekal.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah yang diarahkan untuk dibayar, telahpun dibayar kepada kami (firma guamannya) dan jumlah itu disimpan bersama kami, sementara menunggu keputusan perbicaraan (rayuan) di Mahkamah Rayuan. Kini kami boleh memberikannya kepada pelanggan kami,” kata Rueben.

Pada Mac 2018, Mei Fun memfailkan saman fitnah terhadap Tony Pua dan Bee Yin, yang mendakwa bahawa beliau telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

Prosiding mahkamah hari ini berlangsung secara dalam talian. - Bernama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!