KKM perinci penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperincikan hal-hal berkaitan penubuhan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan, Dewan Rakyat diberitahu pada Rabu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya juga sedang membangunkan kerangka pelaksanaan reformasi sistem kesihatan seperti digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentang di Parlimen pada 15 Jun lepas.

"Dalam keadaan sekarang ini kita sedang melaksanakan struktur tadbir urus dan pembentukan pelbagai jawatankuasa yang kita namakan kumpulan kerja teknikal.

"... jadi tentang Suruhanjaya Reformasi Kesihatan ini juga kita sedang perincikan dan kita juga mengadakan libat urus bersama dengan pakar-pakar bukan sahaja dari KKM tetapi dengan pakar luar dari kementerian untuk melihat cara bagaimana yang terbaik untuk kita, sama ada untuk kita menubuhkan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan atau kita guna perkataan lain, itu terpulang..,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Rabu, bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang ingin tahu status terkini penubuhan suruhanjaya berkenaan.

Sementara itu Dr Zaliha berkata, antara kelemahan sistem kesihatan negara yang telah dikenal pasti ketika negara dilanda Covid-19 ialah premis dan fasiliti kesihatan tidak dapat menampung keperluan kemasukan pesakit yang terlalu ramai, dan kekurangan peralatan seperti tangki oksigen dan alat bantuan pernafasan (ventilator).

Beliau berkata, kelemahan lain yang dikenal pasti ialah kekurangan peralatan pelincungan diri (PPE), ubat-ubatan, petugas kesihatan, dan perkhidmatan yang tidak sepenuhnya menggunakan teknologi dan digitalisasi, di samping sistem kesihatan negara yang tidak bersedia untuk berdepan dengan suasana pandemik ketika itu.

"Situasi ini telah jelas menunjukkan terdapat keperluan untuk memperkukuhkan lagi sistem penjagaan kesihatan bagi memastikan rakyat mempunyai akses yang saksama kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berdaya tahan dan lancar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Zaliha, kekurangan yang dikenal pasti merupakan isu yang diwarisi, dan diburukkan dengan situasi luar jangka Covid-19, namun ia telah diatasi dengan sebaik mungkin ketika pandemik dengan pelbagai cara dan pendekatan.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Tan Kok Wai (PH-Cheras), yang ingin tahu kekurangan yang telah dikenal pasti dalam sistem kesihatan negara terutamanya semasa pandemik Covid-19. - Bernama