Gaji minimum RM1,800: Kerajaan pertimbang cadangan Cuepacs

Mahfuz (tiga dari kanan) menyampaikan baucar kelengkapan sekolah kepada seorang pelajar pada Program Sumbangan Komuniti di Pasaraya Econsave di Pokok Sena hari ini.
Mahfuz (tiga dari kanan) menyampaikan baucar kelengkapan sekolah kepada seorang pelajar pada Program Sumbangan Komuniti di Pasaraya Econsave di Pokok Sena hari ini.
A
A
A

POKOK SENA - Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkaitan kenaikan gaji minimum kepada RM1,800 berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, Cuepacs berhak membuat tuntutan berkenaan bagi memberi jaminan yang lebih baik kepada penjawat awam.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan juga perlu mengkaji permohonan itu dengan keadaan ekonomi dalam negara ketika ini.

"Tambahan pula kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada semua anggota masyarakat bukan sahaja kepada golongan pekerja bermajikan atau mereka yang bekerja sendiri," katanya kepada media selepas Program Sumbangan Komuniti di Pasaraya Econsave Pokok Sena di sini hari ini.

Menurutnya, keupayaan majikan di peringkat swasta juga perlu diberi penekanan dalam memutuskan nilai gaji minimum berkenaan.

"Sekarang mereka mampu membayar gaji tetapi jika kita memaksa berkemungkinan syarikat akan berhenti operasi dan ramai yang akan kehilangan pekerjaan," katanya.

Mahfuz berkata, seperti dijanjikan pada Belanjawan 2020, kerajaan akan melaksanakan kenaikan gaji minimum kepada RM1,200 pada awal tahun hadapan melibatkan 57 bandar utama yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi.

"Dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini kita berjanji menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 tetapi akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun," katanya

Artikel Berkaitan: