Sathianathan sasar skuad The Red Giant layak ke saingan ACL 2021

Sathianathan - Foto Bernama
Sathianathan - Foto Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Selangor, B Sathinathan menyasarkan pasukannya layak ke saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bagi musim 2021.

Sathianathan berkata, perkara itu merupakan matlamat utama pasukannya menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia pada bulan Februari tahun depan.

"Memandangkan AFC ada membuka ruang untuk pasukan negara kita, jadi sasaran kita adalah untuk mencapai matlamat yang utama dengan melayakkan diri dalam saingan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada masa sama, beliau berkata persiapan menjelang saingan Liga Super 2020 berjalan lancar dengan beberapa pemain sudah melaporkan diri.

"Semua pemain sudah menjalani latihan cuma Syahmi Safari belum kerana dia sudah terlibat dalam SEA Games sebelum ini, jadi saya memutuskan untuk dia melaporkan diri pada bulan Januari nanti.

"Komitmen yang tinggi juga ditunjukkan seorang pemain Import baharu dari Singapura iaitu Safuwan (Muhammad Safuwan Baharudin), pemain import lain masih kekal cuma Rufino Segovia (Sepanyol) mengalami kecederaan pada musim lepas dan dia akan kembali menjalani latihan," katanya.

Katanya, selain Safuwan, lima lagi pemain baharu yang sah menyertai Selangor bagi saingan Liga Malaysia 2020 ialah bekas pemain Perak, Brendan Gan dan Nor Hakim Hassan, bekas pemain PKNS FC, Nicholas Ryan Swirad, Rodney Celvin Akwensivie serta Tauffiq Ar Rasyid.

Pada musim lalu, Selangor menamatkan saingan Liga Malaysia dengan menduduki tangga ketiga liga dan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan: