X

Kindly register in order to view this article
!

Tabung Haji unggul, diyakini umat Islam

Mohamad Shukri, Wan Salim
A
A

UMAT Islam di Malaysia wajar memberi sokongan penuh kepada Tabung Haji (TH) kerana sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang lama di negara ini, TH perlu sentiasa diberi keyakinan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat, TH ialah lambang kekuatan ekonomi umat Islam sejak ia ditubuhkan.

“Sebelum wujudnya TH, tiada institusi kewangan Islam untuk umat Islam Malaysia mengumpul wang bagi menanggung kos perbelanjaan menunaikan haji.

“Jadi, TH diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk mengurus pelbagai kemudahan demi kebajikan jemaah negara secara komprehensif dan sistematik. Jika kita lihat dari pelbagai sudut, ia bertapak dengan titik jerih pemimpin terdahulu.

“Dibina dengan keringat sehingga ia kukuh dan kekal sehingga hari ini. Jadi sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa memberi keyakinan kepada institusi ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, TH bukan sekadar menguruskan hal ehwal ibadah umat Islam, sebaliknya menjadi sebuah institusi Islam yang dihormati kerana pencapaian dan tadbir urus pengurusannya.

“Pengurusan TH menjadi institusi terbaik dalam mengurus jemaah haji sehingga menerima pujian dan pengiktirafan kerajaan Arab Saudi dan negara Islam lain.

“Malah, jemaah haji Malaysia juga sering menjadi model kepada tetamu ALLAH dari seluruh dunia pada setiap musim haji.

"Ia berdasarkan disiplin dan pemahaman para jemaah haji negara,” katanya.

Katanya, kemampuan jemaah haji Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima dengan sempurna ialah inisiatif TH yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dari segi kemudahan dan kebajikan kepada mereka.

“Hakikatnya, apa yang dinikmati oleh jemaah haji bukannya datang bergolek. Sebaliknya, atas inisiatif serta amanah yang dipertanggungjawabkan kepada TH,” katanya.

Cekap tadbir urus

Wan Salim berkata, umat Islam atau pendeposit TH tidak perlu meragui keyakinan serta kebolehan pengurusan TH.

“TH sedang melalui pelbagai fasa pemulihan dalam tempoh terdekat. Jadi wajar kita sebagai umat Islam memberikan sepenuh sokongan, elakkan prasangka negatif dan terus beri peluang kepada TH untuk melaksanakan pemulihan.

“TH bukan sahaja berperanan membantu umat Islam menunaikan haji, malah memperkukuhkan keadaan ekonomi umat Islam itu sendiri. Kita yakin TH masih relevan dan terus relevan serta kedudukannya bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Wan Salim berkata, bagi meningkatkan lagi kecekapan tadbir urusnya, TH perlu dibarisi pengurusan yang amanah selain cekap menguruskan hal ehwal ekonomi.

“TH perlu memastikan pihak pengurusan yang dipilih pakar menguruskan wang simpanan pendeposit supaya tidak berlaku salah urus atau salah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Individu itu juga perlu ada sifat amanah dan boleh dipercayai selain mempunyai pegangan agama yang kukuh serta kepakaran pengurusan ekonomi,” katanya.

Gergasi ekonomi Islam

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kredibiliti dan kewibawaan TH tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Kita tidak sangka, idea penubuhan oleh Ungku Aziz yang dahulunya mahu membantu umat Islam di Malaysia mempunyai tabungan untuk ke Tanah Suci kini menjadi institusi kewangan Islam yang unggul.

“Tadbir urusnya cekap sehingga mendapat sanjungan pemimpin Islam dunia,” katanya.

Menurutnya, pihak pengurusan perlu bertanggungjawab menjaga serta mengawal kedudukan TH supaya terus unggul.

“Walaupun pulangan hibah sebelum itu agak rendah, namun disebabkan prospek TH yang cerah dan tadbir urus baik menjadi faktor pendeposit terus kekal melabur.

“Memang menjadi tanggungjawab pengurusan untuk menjaga dan mengawal sebaik-baiknya TH agar tidak berlaku ketirisan. Kita mahu TH terus unggul dan menjadi gergasi ekonomi umat Islam Malaysia,” katanya.

Kataya, musuh Islam akan menggunakan peluang menjatuhkan institusi kewangan Islam yang kukuh sekiranya TH tidak disokong oleh umat Islam sendiri.

“Jika TH jatuh, sudah tiada lagi institusi kewangan Islam yang boleh dibanggakan.

"Kita mahu orang yang menguruskan TH bukan sahaja kuat dari segi fizikal tetapi bertakwa, beriman dan amanah,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!