Inisiatif Sidang Kemuncak KL mula digerakkan

Sidang Kemuncak Kuala Lumpur selama empat hari yang berlangsung di ibu negara sehingga esok. - Foto Bernama
Sidang Kemuncak Kuala Lumpur selama empat hari yang berlangsung di ibu negara sehingga esok. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif-inisiatif konkrit yang diperakukan pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 mula digerakkan bagi menangani isu-isu yang membelenggu umat Islam dengan kaedah penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

Pelbagai rancangan diatur, antara lain, cadangan penubuhan sebuah pusat komunikasi bagi memerangi Islamofobia yang dikaitkan dengan naratif keganasan umat Islam serta kewujudan skim latihan dan peluang pekerjaan untuk golongan belia​ dalam bidang pertahanan, logistik dan perhubungan.

Kedua-dua ini adalah antara lima inisiatif awal yang digariskan untuk dilaksanakan susulan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur selama empat hari yang berlangsung di ibu negara sehingga esok.

Tiga inisiatif lain merangkumi cadangan penubuhan pusat kecemerlangan dalam bidang penerokaan saintifik dan penyelidikan teknologi tinggi, kerjasama masa depan dalam membangunkan bidang penyelidikan dan teknologi baharu serta modal insan dalam industri pertahanan dan keselamatan serta keselamatan makanan.

Dalam usaha terbaru memerangi Islamofobia, salah satu kebimbangan utama dunia Islam yang ditonjolkan pada persidangan tersebut, sebuah pusat komunikasi dijangka diwujudkan di Istanbul, Turki pada pertengahan tahun depan.

Inisiatif tersebut susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai Projek Komunikasi Menentang Islamofobia antara Malaysia dan Turki sempena persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

“Projek ini tidak terhad kepada penubuhan sebuah saluran televisyen bagi memerangi Islamofobia kerana cara lain juga akan digunakan untuk menghantar mesej seperti dalam semua platform media dan juga persidangan,” menurut ketua projek bagi Malaysia, Datuk Ainon Mohd.

Beliau berkata butiran perjanjian MoU mengenai inisiatif itu dirumuskan dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan dijangka ditandatangani pada Mei tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata negara-negara Islam yang lain turut dipelawa menyertai kempen anti-Islamofobia ini kerana setakat ini tiada saluran khusus untuk melenyapkan persepsi negatif tentang Islam.

Pengarah Komunikasi Presiden Turki, Prof Fahrettin Altun, yang menandatangani MoU itu bagi Turki berkata, terdapat keperluan untuk desakan antarabangsa dan pelbagai dimensi terhadap Islamofobia dan anti-Islam.

“Disebabkan sensitiviti dan kepentingan isu ini, adalah berpandangan bahawa sebuah inisiatif bebas yang tertumpu kepada usaha memerangi isu ini diperlukan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah bahawa Turki mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menyokong projek itu.

Mengulas mengenai usaha ini, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur berharap negara-negara Islam yang lain akan menyertai inisiatif ini dalam memerangi Islamofobia.

“Penting untuk kita jelaskan apa yang berlaku, apa sebenarnya agama Islam. Inilah kerjasama yang kita harap boleh buat.

“Kita juga berharap negara-negara lain akan bersama kita dalam kempen seluruh dunia bagi memadamkan salah tanggapan yang mengaitkan Islam dengan keganasan,” katanya kepada pemberita di luar persidangan itu, hari ini.

Sementara itu golongan belia Malaysia boleh melihat peluang untuk latihan dan pekerjaan di Turki di bawah program ‘Work4Malaysia’ susulan jalinan kerjasama antara Akademi Harimau Asia dan Turkey Mental HR Consultancy.

Menurut presiden akademi tersebut, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kedua-dua pihak akan melaksanakan program yang melibatkan pemilihan bakat, latihan dan peluang kerjaya dalam bidang yang dinyatakan.

Buat permulaan, katanya, 50 belia akan memanfaatkan skim itu yang dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Penganalisis politik, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Madya Dr Azmi Hassan memuji persidangan tersebut bagi mendapatkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan untuk menangani isu-isu yang membelenggu umat Islam.

Beliau berharap inisiatif lain akan dirumuskan dan dilaksanakan bagi menangani isu-isu lain yang menimpa dunia Islam.

Dalam pada itu, ​​​​​​​Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed daripada Pusat Penyelidikan Kerajaan, Universiti Utara Malaysia pula menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai satu kejayaan buat umat Islam dalam sedikit sebanyak berusaha mencari inisiatif untuk kebaikan bersama. - Bernama