X

Kindly register in order to view this article
!

'Sebenarnya saya kerap datang Pulau Pinang senyap-senyap...'

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memasak kuih dangai pada Majlis Santapan Tengah Hari bersama Kepimpinan Wanita Pulau Pinang dan Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Semua persatuan wanita dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa seharusnya bergandingan bersama dan bersepakat dalam membantu memperkasakan kaum wanita, titah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah, semua persatuan wanita juga perlu bekerjasama menjalankan aktiviti dan mengadakan perjumpaan bersama bagi memperkasakan kaum hawa di persada dunia.

"Kita mesti sepakat untuk perkasakan wanita, jangan jika Puspanita, Puspanita sahaja, Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI), WI sahaja.

"Semua perlu bergabung bekerjasama dalam aktiviti bagi memperkasakan lagi wanita dalam kalangan masyarakat," titah baginda pada majlis santapan tengah hari bersama kepimpinan wanita Pulau Pinang di Shangri-la Rasa Sayang Resort & Spa, Batu Ferringhi dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Majimor Shariff dan isteri Ketua Menteri, Tan Lean Kee.

Dalam titahnya, baginda turut mengimbau kenangan menginap di bilik sama di Shangri-la Rasa Sayang Resort semasa menemani bondanya ke Pulau Pinang 35 tahun lepas.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima buku Resipi Penang Passion pada Majlis Santapan Tengah Hari bersama Kepimpinan Wanita Pulau Pinang dan Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang di sini hari ini. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima buku Resipi Penang Passion pada Majlis Santapan Tengah Hari bersama Kepimpinan Wanita Pulau Pinang dan Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang di sini hari ini. - Foto Bernama

"Hari ini saya datang menginap bilik sama semasa menemani bonda di sini 35 tahun yang lalu dan hari ini saya di hotel yang sama sebagai Permaisuri. Kuasa ALLAH ya," titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah bertitah, Pulau Pinang amat sinonim dengan diri baginda kerana baginda sebenarnya kerap datang ke negeri ini secara tidak rasmi dan menurut baginda, Pulau Pinang merupakan tempat baginda mencari ilham dalam menghasilkan buku resipi masakannya.

"Sebenarnya, saya kerap datang ke Pulau Pinang secara senyap-senyap, tak nak beritahu sesiapa kerana saya ke sini mahu menumpukan pada buku resipi. Buku resipi ini ditulis di sini dan dicetak di Pulau Pinang.

"Jika saya ke Pulau Pinang saya suka menginap di G Hotel, Jalan Gurney sebab bila malam, saya akan turun makan durian, rojak buah, pasembor.

"Kalau siang pula, setiap hari saya akan makan nasi bungkus, nasi lemak dari Restoran Minah, tiap-tiap hari itulah kerja saya," kongsi Raja Permaisuri Agong diiringi senyuman ketawa para hadirin.

Seusai majlis santapan tengah hari itu, Tunku Azizah kemudian meluangkan masa beramah mesra bersama Persatuan Chef Pulau Pinang.

Baginda yang sememangnya terkenal dengan kehebatan memasak meluangkan masa hampir dua jam pada majlis itu dan turut berkenan memasak menu Penang asam laksa, nyonya acar awak, dangai dan loyang bersama chef berkenaan.

Sementara itu, Mohd Bakri Mohd Said dari Persatuan Chef Pulau Pinang berkata, persatuan itu teruja dengan kesudian Tunku Azizah untuk hadir bertemu dengan persatuan itu.

Menurutnya, mengenali dan bertemu Raja Permaisuri Agong dengan lebih dekat, beliau dapat melihat kemesraan baginda bersama rakyat.

"Baginda juga tidak lokek dengan ilmu masakan. Macam tadi, kami masak Penang asam laksa, Raja Permaisuri Agong beritahu tambah nanas, ia akan menjadikan menu bertambah sedap. Kami kemudian menambah nanas dalam masakan ternyata amat lazat sekali masakan.

"Selain itu, saya juga sempat meminta resipi sambal belacan permaisuri yang sememangnya enak, Raja Permasuri Agong terus memberikan resipi itu," katanya kepada Bernama. - Bernama