Banjir di beberapa negeri semakin pulih

Penduduk Kampung Kasim Aaisyah Jamil,14, kelihatan bermain air di hadapan rumahnya yang masih ditenggelami air bah pada tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Kasim Aaisyah Jamil,14, kelihatan bermain air di hadapan rumahnya yang masih ditenggelami air bah pada tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri beransur pulih dengan jumlah mangsa semakin berkurangan, setakat petang ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keadaan cuaca di Kelantan, Terengganu, serta beberapa kawasan di Pahang dan Sabah dijangka bertambah baik.

Berikutan itu notis amaran cuaca buruk yang dikeluarkan pada 3.35 petang semalam ditamatkan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 2,076 daripada 644 keluarga setakat 6.30 petang berbanding 4,065 (1,205 keluarga), pagi tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan tiga jajahan masih terkesan banjir manakala pusat pemindahan sementara (PPS) Kuala Krai dan Pasir Puteh telah ditutup.

Seramai 1,298 mangsa daripada 445 keluarga ditempatkan di sembilan PPS Pasir Mas; 500 mangsa (121 keluarga) di 11 PPS Tanah Merah, dan 278 mangsa (78 keluarga) di tiga PPS Jeli.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan hanya Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.48 meter (bahaya 9 meter).

Di Pahang, banjir turut dilapor semakin pulih dengan hanya 386 mangsa daripada 105 keluarga masih berada di empat PPS di Rompin, Bera dan Temerloh.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, Temerloh mencatatkan 351 mangsa, Rompin (26 mangsa) dan Bera (sembilan mangsa).

Di Terengganu, empat PPS yang beroperasi di dua daerah iaitu Dungun dan Hulu Terengganu ditutup secara berperingkat, menurut Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman.

Beliau berkata, ketika ini hanya satu PPS masih beroperasi di Dewan Orang Ramai Kampung Minda di Dungun yang menempatkan 38 mangsa (13 keluarga).

"Walaupun cuaca baik di seluruh Terengganu hari ini, mereka masih tidak dibenarkan pulang kerana rumah mereka masih digenangi air,” katanya.

Di Johor, jumlah mangsa banjir juga terus berkurangan kepada 1,314 orang daripada 327 keluarga setakat 6 petang ini berbanding 2,669 orang daripada 716 keluarga yang direkodkan pada jam 8 pagi tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kesemua mangsa masih ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan lima daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

"Banjir di daerah Mersing pulih sepenuhnya apabila sembilan PPS di daerah itu telah pun ditutup hari ini berikutan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, dua laluan di daerah Segamat meliputi Jalan Paya Balai Badang dan Jalan Putting serta dua lagi di Mersing iaitu Jalan Telok Arong dan Jalan Tanah Abang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air.

"Jalan Tumang, Segamat hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja," katanya.- Bernama