Cuepacs gesa kerajaan naikkan gaji minimum RM1,800

Adnan (tengah) ketika Konvensyen Tri Tahunan Cuepacs ke 28 bertempat di Shah Alam Convention Center (SACC) hari ini.
Adnan (tengah) ketika Konvensyen Tri Tahunan Cuepacs ke 28 bertempat di Shah Alam Convention Center (SACC) hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sebagaimana yang telah dibentang malam kelmarin, pihak Cuepacs mencadangkan jumlah tersebut kerana kos hidup pada hari ini yang terus meningkat.

"Ini kerana kajian Cuepacs menunjukkan keperluan seorang rakyat perlukan wang minimum RM2,600. Begitu juga kajian Bank Negara sebanyak RM2,700 manakala kajian oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM2,680.

"Tiga kajian ini menunjukkan bahawa seseorang itu hendaklah tidak berada di bawah RM2,600," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Konvensyen Tri Tahunan Cuepacs ke 28 bertempat di Shah Alam Convention (SACC) hari ini.

Menurutnya, kajian ini telahpun dibentangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 11 Disember 2018 lalu.

"Hari ini, gaji minimum kami adalah RM1,900 jika dicampur elaun cola (bantuan sara hidup), elaun tetap perumahan dan elaun lain. Maknanya kita masih kurang lebih RM700 kalau nak sampai RM2,600.

"Maka kami ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini dinilai semula dan ditetap kepada RM1,800 dan apabila dicampur dengan elaun, maka ia sampai kepada sasaran yang telah kami buat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Barisan kepimpinan baharu Cuepacs bergambar bersama Azih ketika Konvensyen Tri Tahunan Cuepacs ke 28 bertempat di Shah Alam Convention Center(SACC) hari ini.
Barisan kepimpinan baharu Cuepacs bergambar bersama Azih ketika Konvensyen Tri Tahunan Cuepacs ke 28 bertempat di Shah Alam Convention Center(SACC) hari ini.

Katanya lagi, pada hari ini, gaji minimum RM1,200 adalah amat tidak munasabah bagi penjawat awam memiliki rumah.

"Nak beli rumah, minimum potongan selama 30 tahun. Kalau gaji minimum cuma RM1,200 maka ia jelas tidak mencukupi.

"Campur lagi keperluan pelajaran dan campur lagi keperluan pengangkutan serta keperluan asas seperti makan minum dan utiliti yang lain, jelas tidak cukup," katanya.

Tambahnya, jika cadangan ini diterima, ia akan memberi kesan positif dan keselesaan kepada masyarakat.

Sementara itu, Adnan menegaskan banyak skim-skim perkhidmatan dalam perkhidmatan awam dianggap sebagai terpencil dan sudah lama tidak ada pergerakan.

Katanya, ada sebahagian skim yang telah dibentangkan oleh kerajaan melalui pekeliling bilangan satu 2016.

"Perkara ini telah diperbahaskan oleh perwakilan yang hadir, terdapat 16 skim di antaranya telah dinaik taraf, sebahagian lagi skim yang setara dengannya dan ada skim sudah 40 tahun tidak bergerak.

"Inilah isu dan ada perwakilan membentang dan membahas bahawa skim ini perlu dianjak dan ditingkatkan berdasarkan kualitifikasi yang sesuai," katanya.

Katanya, kualifikasi atau kelayakan perlu dilihat oleh kerajaan secara lebih jelas.

"Kita lihat dari segi kelulusan, ramai yang berkelulusan diploma, jadi ramai perwakilan meminta agar skim ini dipertingkatkan.

"Ini jelas sekali menunjukkan penjawat sedia ada dalam skim ini mempunyai kualifikasi lebih daripada kelulusan yang ditetapkan dalam skim ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Gaji minimum RM1,200 sebulan di 57 bandar utama