170,000 pengunjung lihat gajah di Kuala Gandah

Bilangan pelancong mengunjungi PKGK meningkatkan setiap tahun.
Bilangan pelancong mengunjungi PKGK meningkatkan setiap tahun.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, di Temerloh menerima seramai 170,000 orang dalam tempoh sepuluh bulan tahun ini.

Ketua PKGK, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, peningkatan jumlah itu membuktikan ramai pengunjung hadir melihat aktiviti membabitkan gajah selain turut melawat galeri haiwan itu.

"Walaupun aktiviti menaiki gajah sudah lama tidak diadakan disebabkan faktor keselamatan namun ia tidak sedikit pun menjejaskan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara.

"Selain melihat persembahan gajah di pentas utama sambil memberi makan tembikai dan tebu, pelancong juga diberi peluang mandi di Sungai Teris bersama anak haiwan terbabit sambil ditemani mahut atau gembala.

"Di kawasan kurungan terbuka pelancong berpeluang melihat gajah bergerak bebas di bawah pokok dalam suasana hutan sebenar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, PKGK Kuala Gandah yang merupakan produk pelancongan bertaraf antarabangsa dibuka setiap hari kecuali pada Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, operasi PKGK Kuala Gandah bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang dan masuk percuma.

"Pengunjung hanya digalakkan untuk menderma," katanya.

Artikel Berkaitan: