40,000 pokok bunga kertas indahkan bandar Kuantan

Hamdan (kiri) dan Mohd Shahar (tiga dari kiri) turut sama menanam pokok bunga kertas di lokasi berhadapan UMP Gambang.
Hamdan (kiri) dan Mohd Shahar (tiga dari kiri) turut sama menanam pokok bunga kertas di lokasi berhadapan UMP Gambang.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memperuntukkan RM700,000 bagi mengindahkan bandar Kuantan dengan 40,000 anak pokok bunga kertas.

Yang Dipertuanya, Datuk Hamdan Hussin berkata, anak-anak pokok sudah mula ditanam di semua lokasi pintu masuk Kuantan serta beberapa lagi lokasi terpilih bagi menyambut Kuantan ke arah sebuah bandar raya.

Menurutnya, selain mencantikkan landskap daerah ini, ia juga bertujuan mendidik masyarakat mencintai keindahan selain menarik pelancong.

"Dalam usaha Kuantan ke arah bandar raya, MPK mengambil langkah proaktif untuk menceriakan kawasan sekitar. Ia juga sebagai kempen besar-besaran bagi menggalakkan penduduk Kuantan menanam bunga kertas di bandar ini.

"Kebersihan tidak boleh dijadikan faktor sampingan dalam menarik pelabur sebaliknya MPK berusaha mendidik masyarakat dalam meningkatkan kebersihan," katanya pada sidang akhbar Program Penanaman 3,600 Pokok Bunga Kertas jenis Elizabeth Angus di Hentian Gambang di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah selaku perasmi dan Setiausaha MPK, Datuk Hamiza Hamzah.

Mohd Shahar (dua dari kiri) menanam pokok bunga kertas di lokasi berhadapan UMP Gambang.
Mohd Shahar (dua dari kiri) menanam pokok bunga kertas di lokasi berhadapan UMP Gambang.

Program dianjurkan MPK itu turut mendapat penyertaan lebih 300 sukarelawan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gambang, Kolej Komuniti Gambang, Puspen, Drug Intervention Community (DIC) Pahang, Bukit Gambang Resort, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Hamdan berkata, bagi menarik penyertaan korporat untuk menyumbang pokok bunga dan lanskap, beliau meminta Jabatan Lanskap Negara mengesyorkan kepada kerajaan berkenaan pengecualian cukai terhadap penderma.

"Saya percaya akan mendorong lebih banyak lagi syarikat korporat dan swasta untuk menyertai kita dengan menyumbang pokok bunga sempena kempen penanaman ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Shahar berkata, transformasi lanskap Kuantan ini sudah tentu mengindahkan pemandangan pintu masuk Kuantan yang juga laluan ke bandar Segamat, Johor.

Katanya, bukan sahaja institut pengajian tinggi awam dan swasta menjadi 'penyambut tetamu' di pintu masuk ke Kuantan malah pemandangan lebih ceria dengan warna yang memberi semangat kepada pelancong.