Agong terima kunjungan Presiden Iran, Turki

Sultan Abdullah berkenan menerima mengadap Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara hari ini. Erdogan berada di sini untuk menyertai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bermula hari ini hingga Sabtu ini. - Foto: Bernama
Sultan Abdullah berkenan menerima mengadap Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Negara hari ini. Erdogan berada di sini untuk menyertai Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang bermula hari ini hingga Sabtu ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima kunjungan Presiden Iran Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan secara berasingan di Istana Negara di sini hari ini.

Kedua-dua pemimpin berkenaan kini berada di ibu negara bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 yang bermula hari ini hingga Sabtu.

Kunjungan tersebut merupakan yang pertama bagi kedua-dua pemimpin dengan Seri Paduka sejak Sultan Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Januari.

Semasa pertemuan 20 minit dengan Rouhani yang bermula 5.35 petang, pemimpin Iran dan Seri Paduka membincangkan langkah-langkah untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala serta perdagangan antara kedua-dua negara.

Perbincangan itu juga menyentuh mengenai keperluan untuk lebih banyak usaha bagi Malaysia dan Iran mengenal pasti dan membangunkan kerjasama yang berpotensi dalam perdagangan dan pelaburan untuk manfaat kedua-dua negara.

Sementara itu, dalam pertemuan selama 30 minit dengan Erdogan yang bermula 6.47 petang, Seri Paduka dan Presiden Turki itu membincangkan tentang keperluan bagi sektor swasta kedua-dua negara untuk memainkan peranan lebih aktif dalam meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan Turki selain mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Dalam pertemuan itu, Sultan Abdullah juga menggalakkan dan mempelawa sektor swasta Turki untuk melabur di Malaysia, terutamanya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Seri Paduka dijadual merasmikan dan menyampaikan titah ucapan pada upacara pembukaan sidang kemuncak itu, esok.

Artikel Berkaitan:

Sidang kemuncak berkenaan antara lain mencari penyelesaian baharu untuk masalah yang dihadapi dunia Islam dan menyumbang ke arah menambah baik keadaan umat Islam dan negara-negara Islam. - Bernama