Perjuangan tanpa henti

Adnan mahu ada anjakan paradigma profesionalisme penjawat awam supaya terus kekal relevan sepanjang masa.
Adnan mahu ada anjakan paradigma profesionalisme penjawat awam supaya terus kekal relevan sepanjang masa.
A
A
A

SEJAUH manakah penglibatan saudara dalam kesatuan sekerja?

ADNAN: Keterlibatan saya dalam kesatuan pekerja bermula dalam Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULE) pada 1994 sebagai Exco.Kemudian pada 2001, saya memegang jawatan Penolong Setiausaha dan seterusnya Naib Presiden pada 2006 sebelum menjawat jawatan Timbalan Presiden bermula 2009 sehingga sekarang.

Pada 2004, saya juga merupakan Pengerusi Majlis Bersama Kebangsaan (MBK) Sains dan Teknologi sehingga sekarang.

Pada masa sama, saya menganggotai Cuepacs sebagai Naib Presiden bagi tempoh 2004 hingga 2007 disusuli Timbalan Setiausaha Agung II (2007-2013), Timbalan Setiausaha Agung I (2013-2016) dan kini sebagai Setiausaha Agung sejak 2016.

Sepanjang tempoh 16 tahun berkhidmat dalam Cuepacs, saya menimba pelbagai pengalaman dengan proses pembelajaran dan perjuangan secara menegak iaitu bermula daripada bawah.

Apakah bentuk pengalaman saudara sepanjang berkhidmat dalam Cuepacs ?

ADNAN: Saya pernah berada di bawah empat kepimpinan Presiden bermula daripada Datuk N Siva Subramaniam, Datuk Nordin Abdul Hamid, Datuk Omar Osman dan sekarang ini, Datuk Azih Muda.

Ini bermakna saya memahami sepenuhnya keseluruhan gaya kepimpinan mengikut situasi pentadbiran kerajaan ketika itu.

Sejak 2004, saya berada dalam barisan utama kepimpinan bagi setiap rundingan dengan kerajaan. Senario perundingan dan perjuangan Cuepacs berkait rapat dengan kerajaan dan Perdana Menteri ketika itu. Ketika menjadi Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan seorang yang tegas dengan Cuepacs.

Artikel Berkaitan:

Kini, sebagai Perdana Menteri ketujuh, beliau menjadi pendengar yang baik terhadap permohonan kami, cuma ada beberapa perkara tidak dapat direalisasikan kerana situasi semasa negara.

Namun sekurang-kurangnya dalam Belanjawan 2020, kerajaan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan dan memperkenalkan faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris yang bernilai sehingga RM150,000.

Selain itu, pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) bagi anggota yang sudah meninggal dunia.

Bagaimana senario pemilihan Cuepacs kali ini?

ADNAN: Pemilihan jawatankuasa Cuepacs kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pencalonan paling ramai iaitu 220 calon.

Daripada jumlah itu, seramai 101 calon sah bertanding mengisi pelbagai jawatan yang akan ditentukan melalui undian 1,498 perwakilan daripada gabungan kesatuan pekerja seluruh negara pada 18 Disember.

Ini satu penawaran unik dan baik dengan fenomena baharu berikutan ramai penyandang jawatan sedia ada akan bersara termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Kewangan.Bagaimanapun, harus diingatkan dalam suasana pemilihan yang begitu hangat, perkara yang menjadi keutamaan adalah suara dan kebajikan warga penjawat awam itu sendiri.

Apakah yang akan diperjuangkan untuk masa depan Cuepacs?

ADNAN: Saya berpegang pada moto perjuangan tanpa henti bersesuaian dengan sejarah penglibatan saya dalam Cuepacs sejak 16 tahun lalu.

Melalui perjuangan ini, saya mahu ada anjakan paradigma profesionalisme penjawat awam supaya terus kekal relevan sepanjang masa selari dengan Dasar Kemakmuran Bersama.

Pada masa sekarang, rakyat di luar lebih tahu daripada penjawat awam kerana fenomena zaman kerajaan tahu semuanya telah berlalu.

Kini rakyat akan jadi pembimbing dan pemantau pelaksanaan setiap dasar kerajaan. Sudah sampai masanya kena ada give and take.

Selain berjuang untuk kebajikan penjawat awam, Cuepacs itu sendiri juga perlu mempertahankan setiap pelaksanaan dan perkhidmatan kepada rakyat agar ia tidak dikurangkan.

Sebaliknya, ia sentiasa dibuat anjakan menjadi lebih baik secara berterusan. Ini mengimbangi permohonan Cuepacs dan produktiviti penjawat awam.

Adakah kekangan kewangan negara menghalang penambahbaikan kebajikan penjawat awam?

ADNAN: Bentuk kebajikan kepada penjawat awam sudah berjalan di negara ini sejak 12 tahun lalu. Cuepacs yakin kerajaan boleh meningkatkan pendapatan sebab kita tak pernah lihat pendapatan negara berkurangan.

Dari segi kewangan, ia bukan satu isu kerana negara kita stabil, harmoni dan sentiasa bergerak ke depan. Perjuangan kita seterusnya mahu melihat penjawat awam hidup selesa dengan kadar upah pada masa hadapan yang bersesuaian dengan kos sara hidup semasa.

Saya harap agar penjawat awam sentiasa berdaya maju meningkatkan profesionalisme bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada generasi akan datang.