Isteri nusyuz, suami dayus

No Image Caption
A
A
A

"AWAK ingkar, awak isteri nusyuz!” Mudahnya bibir yang dahulunya mengungkapkan kasih, kini penuh bisa menghiris hati.

Lancar sungguhlah kata yang terluah, bagaikan diri itu ‘maksum’ tiada langsung berbuat salah. Apalah salahnya menilai dahulu kesilapan daripada terus menghukum dengan tuduhan melulu yang sungguh menyakitkan.

Jika dinilai kembali, adakah kesilapan itu hanya pada isteri? Bagaimana pula jika suami itu cuai, tidak mendidik dan jauh sekali mahu menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga? Tidakkah suami itu juga wajar dilabel sebagai dayus?

Sedangkan menurut Muhammad Qutb dan Dr Muhammad ‘Uqlah, kalau isteri dianggap telah nusyuz apabila dia derhaka kepada suami, tidak menunaikan kewajipan dan keluar rumah tanpa izin suami, maka suami juga boleh dianggap telah nusyuz apabila dia enggan memberi nafkah kepada isteri. (Muhammad Qutb, Syubhat Haula al-Islam 128 dan Dr Muhammad `Uqlah, Nizam al-Usrah Fi al-Islam 2:184)

Sementara itu, Dr Mustafa al-Khin pula menganggap suami nusyuz apabila pengabaian dan keengganan berlaku pada pihak suami dengan dia tidak menunaikan giliran, tidak memberi nafkah, bertindak kasar dengan perkataan atau perbuatan. (Mustafa al-Khin dan Dr Mustafa al-Bugha, al-Fiqh al-Manhaji2; 105).

Pun begitu, Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri menerusi perkongsiannya dalam laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ammar bin Yasir R A Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak."

Lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah faham maksud orang yang ketagih arak tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Nabi SAW bersabda: "Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10310)

Menurut beliau, takrif dayus adalah bercabang pada lidah atau lemah lembut dengan makna mudah atau ringan. Ia bermaksud seseorang lelaki yang tiada ghairah untuk mempertahankan keluarganya. Lihat al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah (21/96)

Artikel Berkaitan:

Sedangkan dalam sunnah, takrif dayus adalah apabila seseorang itu mengiyakan perbuatan keji seperti zina kepada keluarganya dan antara tandanya, dia tidak kisah siapa yang menemui ahli keluarganya atau isterinya. Inilah tafsiran Ibn Hajar al-Haitami. Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf al-Kabair (2/347)

Itlaq kalimah dayus iaitu setiap orang yang mengiyakan sebarang kejahatan terhadap ahli keluarga di bawah kekuasaannya daripada kalangan isteri, anak perempuan dan saudara perempuan. Sama ada ia membawa kepada zina atau jalan yang membawa kepada zina seperti mendedahkan aurat di hadapan lelaki ajnabi dan berkhalwat dengannya. Lihat al-Fatawa al-Lajnah al-Daimah (17/197)

Hadis daripada Abdullah bin Umar R Anhuma, Rasulullah SAW bersabda turut menegaskan: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh ALLAH daripada memasuki syurga iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya. (Riwayat Ahmad (5372)

Justeru, menerusi nas-nas yang dinyatakan, jelas bahawa seseorang itu yang membiarkan isterinya berzina dan terlalu bersangka baik terhadapnya adalah haram dan satu dosa besar.

Mereka itu disebut sebagai lelaki dayus apabila membiarkan isteri mahupun anaknya bertemu dengan sesiapapun, malah sebahagiannya membiarkan sahaja isteri dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh lelaki lain.

Disebabkan itulah Islam sangat menuntut rasa cemburu dalam diri seseorang seperti mana yang dijelaskan oleh Ibn Qayyim: “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga). Sesiapa yang tiada perasaan ini, maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya. Kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga menjauhkan daripada kejahatan dan perkara keji. Tanpanya hati akan mati. Maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.” Lihat al-Jawab al-Kafi(hlm. 68)

Justeru, sebarang tindakan oleh suami itu hendaklah dengan penuh kefahaman dan bukti yang jelas supaya tidak menzalimi isteri hanya melalui sangkaan sahaja semata-mata.

Bahkan, hubungan akrab dan intim antara pasangan suami isteri itu hendaklah disuburkan dengan mengikat hubungan kepada ALLAH SWT melalui solat berjemaah, qiamullai bersama, menghadiri majlis ilmu dan juga makan bersama agar lahirkan rumah tangga Baiti Jannati.

* Sarina Mohd Som ialah Wartawan Kanan GPSBestari