Kementerian luar iktiraf CAYC, MBM sebagai badan induk belia Asean

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Luar mengiktiraf Committee For Asean Youth Cooperation (CAYC) sebagai badan induk belia ASEAN dalam menjalankan kerja dan program pembangunan belia di rantau ini dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai badan induk belia yang mewakili belia Malaysia.

Persefahaman itu dicapai dalam pertemuan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang menerima kunjungan hormat CAYC dan MBM yang diketuai Setiausaha Agung CAYC, Mohd Zaidi Aziz dan Presiden MBM, Jufitri Joha semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini berkata, kunjungan tersebut meliputi perbincangan perihal gerakan dan penglibatan belia dalam hubungan antarabangsa.

Kenyataan itu menyebut pertemuan itu mencadangkan CAYC diberi ruang dalam Sidang Kemuncak ASEAN bagi membawa isu dan suara mewakili belia ASEAN kepada ketua-ketua negara ASEAN serta diberi ruang atau sesi membentangkan cadangan dan program dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN (AMMY).

"CAYC dan MBM akan bekerjasama rapat bersama KLN (Kementerian Luar), terutama dalam menyebar luas tentang kesedaran ASEAN di kalangan rakyat Malaysia, khususnya kepada generasi muda,”kata kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut Saifuddin bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan platform belia antarabangsa, koordinasi bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi yang terlibat dalam pembangunan belia untuk bekerjasama terutamanya dari segi jaringan serta sokongan teknikal dalam menjayakan program antarabangsa sama ada di dalam atau luar Malaysia.

Persefahaman yang dicapai dalam pertemuan itu juga adalah berkaitan usaha untuk mewujudkan program “internship” belia-belia Malaysia di Kementerian Luar, kata kenyataan itu.

Pertemuan itu juga bersetuju melibatkan CAYC dan MBM dalam perbincangan mesyuarat antarabangsa atau bengkel berkaitan dengan pembangunan serantau yang memfokuskan kepada pembangunan belia, serta bekerjasama menangani isu-isu global dalam bentuk bengkel, diskusi, forum atau siaran akhbar.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan kerjasama ini dapat memberi sinergi dan fokus yang baharu dalam penglibatan dan pembangunan belia dalam hubungan antarabangsa,” kata Kementerian Luar. - Bernama