Bekalan makanan mangsa banjir di Pahang mencukupi

Mohd Zakaria (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Kampung Setajam, Rompin. - Foto Ihsan Media Pahang
Mohd Zakaria (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Kampung Setajam, Rompin. - Foto Ihsan Media Pahang
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang memberi jaminan bekalan makanan dan barang keperluan harian mangsa yang terjejas berikutan banjir di negeri ini mencukupi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ibrahim berkata, setakat ini tiada sebarang masalah membabitkan keperluan mangsa banjir di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Rompin, Temerloh, Bera dan Raub.

"Saya difahamkan oleh JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) bahawa bekalan makanan masih mencukupi walaupun telah tiga hari PPS dibuka.

“Bekalan makanan setiap hari akan diambil di pejabat penghulu yang merupakan pangkalan hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lawatan yang diadakan di PPS Kampung Setajam semalam mendapati semua mangsa banjir berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan.

"Saya ada bertanya sendiri kepada penduduk yang terjejas dan mereka berpuas hati dengan petugas-petugas kita serta kelengkapan yang disediakan.

“Namun begitu ada dua, tiga kawasan yang kita akan tambah baik seperti tempat basuh pinggan, sinki, tempat makan dan penghadang hujan. Setakat ini, saya berpuas hati dengan semua ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zakaria mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus tanpa mengira waktu bagi memastikan keselesaan penduduk yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir di empat daerah di Pahang seramai 1,115 mangsa daripada 293 keluarga membabitkan 13 PPS di daerah Rompin, Temerloh, Bera dan Raub.

Rompin masih lagi menempatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 1,005 orang daripada 261 keluarga diikuti Raub (66 mangsa, 22 keluarga), Bera (25 mangsa, enam keluarga) dan Temerloh pula 19 mangsa daripada empat keluarga.