Ditemukan mati dengan pisau masih tertusuk di leher

Mayat mangsa ditemukan terbaring dan berbalut selimut di tepi katil dalam tidur utama rumah sewanya.
Mayat mangsa ditemukan terbaring dan berbalut selimut di tepi katil dalam tidur utama rumah sewanya.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pembantu klinik ditemukan meninggal dunia dengan pisau masih tertusuk di lehernya di sebuah kondominium di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat Yoon Hati Htike, 29 dijumpai di bilik tidur utama rumah sewanya di tingkat 19 sebuah kondominium dalam keadaan berbalut dengan selimut.

Menurutnya, mangsa merupakan warga Myanmar dipercayai dibunuh suaminya yang juga warga Myanmar disyaki bermotifkan cemburu.

"Pada jam 10.40 pagi tadi, kita menerima laporan dari seorang wanita mengatakan pekerjanya tidak hadir ke tempat kerjanya sejak tiga hari lalu. Susulan daripada itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan rumah mangsa pada jam 10.30 malam tadi. Ketika tiba di kediaman tersebut, kita dapati ianya berkunci.

"Selepas menghubungi pemilik rumah berkenaan, pemiliknya datang lalu membuka pintu rumah tersebut. Polis menemui mangsa terbaring di lantai tepi katil dalam keadaan berbalut dengan selimut. Terdapat kesan tikaman pada mayat dan pisau masih tertusuk pada lehernya," katanya kepada media di tempat kejadian tadi.

Noorzainy berkata, menurut laporan polis majikannya, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa adalah pada petang 13 Disember lalu.

"Majikannya mendakwa mangsa ada mengadu dengannya bahawa dia mempunyai masalah rumahtangga dan suaminya pernah mengugut untuk membunuhnya. Majikannya ada menasihati mangsa untuk membuat laporan polis namun mangsa enggan berbuat demikian.

"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak tiga hari berdasarkan kepada keadaan mayatnya. Dia adalah pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). Siasatan juga mendapati mangsa dan suaminya telah menyewa kondominium tersebut sejak empat bulan lalu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis sedang mengesan suami mangsa yang dikenali sebagai Mohammad Noor Lal Miah, 29 untuk membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki ini agar menghubungi polis atau balai polis terdekat untuk siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.