X

Kindly register in order to view this article
!

KPM tidak bercadang hapus hutang PTPTN 50 peratus

A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 50 peratus kepada semua penghutang PTPTN.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, sekiranya insentif itu hendak dilaksanakan, kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM29 bilion iaitu 50 peratus daripada keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan kepada peminjam.

“Jumlah ini adalah bersamaan dengan jumlah peruntukan untuk menaja 1.2 juta peminjam baharu sehingga tamat pengajian.

“KPM perlu memberi perhatian terhadap penambahbaikan pengurusan pinjaman secara keseluruhan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat kementeriannya, pada persidangan Dewan Negara di sini malam ini.

Menyentuh tentang pendidikan orang asli, Nie Ching menjelaskan, KPM menerima pencalonan seramai 133 calon guru orang asli untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru (IPG).

"Namun hanya 25 calon diterima masuk setelah mengambil kira keputusan Ujian Kelayakan Calon Guru dan keperluan semasa bagi memenuhi unjuran keperluan untuk bidang Bahasa Melayu dan bimbingan kaunseling.

“Kementerian akan terus memastikan murid berkeperluan khusus, seperti murid Orang Asli dan Penan mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sebanyak 6,821 permohonan kewarganegaraan daripada pemohon berketurunan India telah diterima berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara dari 2014 hingga 30 November lepas.

"Daripada jumlah itu, seramai 3,676 pemohon telah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia manakala yang lain masih dalam proses penelitian, semakan dan ada dokumen yang masih tidak lengkap dan faktor lain," katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!