Penjawat awam, pelajar positif dadah ditahan

Mohd Noor ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.
Mohd Noor ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam dan pelajar antara 81 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan pada Op Bersepadu di 12 lokasi di sini hari ini.

Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, penjawat awam yang berusia 35 tahun dan pelajar berusia 17 tahun itu didapati positif dadah.

"81 individu yang ditahan berusia antara 17 hingga 52 tahun terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memiliki permit, tinggal lebih masa, memalsukan dokumen, dadah dan perjudian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini.

Op Bersepadu ini melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial dan Balai-balai daerah Kuantan.

Mohd Noor berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merampas 23 biji pil yaba, 0.96 gram dadah jenis syabu dan 14 biji pil estacy.

"Kesemua yang ditahan direman di bawah Seksyen 117 kanun prosedur jenayah," katanya.

Beliau berkata, Op Bersepadu diadakan bagi mengesan kes waran tangkap, pendatang tanpa izin, membasmi salahlaku di pusat hiburan, mengesan rumah pelacuran dan mencegah penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

Menjawab mengenai tangkapan kes waran tangkap, Mohd Noor berkata, pihaknya berjaya menahan 10 suspek selepas membuat pemeriksaan di 30 rumah di sekitar daerah ini.

Katanya, suspek terbabit berusia antara 20 hingga 35 tahun telah dituduh di Mahkamah Kuantan tetapi mereka ‘menghilangkan diri’ selepas sebutan kedua kes.

“Kebanyakan suspek ini mempunyai kes dadah di mahkamah sekitar tahun 2018 dan awal tahun ini, kita tahan dan membuat tuduhan semula terhadap mereka,” katanya.