X

Kindly register in order to view this article
!

Jauhi 'Pantai Miami' ekoran ombak besar

Syed Azam ketika meninjau ombak kuat menghempas benteng pemecah ombak hingga menyebabkan air melimpah di atas jalan raya ketika tinjauan Bernama di Pantai Seberang Takir, malam tadi. - Foto Bernama
A
A

KUALA NERUS - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu menasihati orang ramai menjauhi kawasan pesisir 'Pantai Miami', Seberang Takir berikutan keadaan ombak yang semakin berbahaya.

Ia susulan terdapat sesetengah orang awam yang masih berdegil dan mengambil kesempatan berhenti di tepi jalan untuk menyaksikan fenomena itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Pengarah Operasi, Mejar Syed Azam Shah Syed Baharom berkata, walaupun telah diberikan peringatan berterusan oleh pihaknya dan polis, masih ramai yang tidak mengendahkan amaran terbabit dan menjadikan keadaan itu seperti pesta terutama pada waktu malam.

"Keadaan ombak malam tadi nampak luar biasa dan air pula melimpah sehingga ke jalan raya.

"Kita dah minta orang awam beredar dari tempat itu tetapi semakin ramai pula yang datang meninjau-ninjau tanpa menghiraukan keselamatan diri dan keluarga," katanya ketika ditemui Bernama semasa melakukan tinjauan di kawasan Pantai Miami malam tadi.

Pantai Miami terletak berhampiran dengan Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ iaitu mercu tanda terbaharu di Terengganu.

Syed Azam berkata, limpahan air laut menyebabkan jalan raya menjadi licin dan berbahaya kepada pengguna.

Justeru katanya, bagi memastikan keselamatan orang awam, APM telah menjalankan pemantauan dan rondaan setiap setengah jam di sepanjang lima kilometer jalan pesisir pantai terbabit.

"Walaupun belum berlaku insiden seperti kemalangan dan sebagainya, kita perlu berwaspada dan sebab itulah kita minta supaya orang awam tidak suka-suka datang ke sini (Pantai Miami).

"Apatah lagi ketika ini musim cuti sekolah dan ia juga menarik perhatian orang dari luar yang kebetulan sedang bercuti di sini," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur bermula semalam sehingga Isnin ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus