UUM 1 hingga 9999 dibuka untuk dibida

Ahmad Bashawir (tiga dari kanan) semasa merasmikan gimik pelancaran nombor pendaftaran khas kenderaan universiti dengan menggunakan abjad UUM di Sintok hari ini. - Foto UUM
Ahmad Bashawir (tiga dari kanan) semasa merasmikan gimik pelancaran nombor pendaftaran khas kenderaan universiti dengan menggunakan abjad UUM di Sintok hari ini. - Foto UUM
A
A
A

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membuka ruang kepada stafnya, alumni, komuniti dan orang awam untuk membida nombor pendaftaran khas kenderaan universiti abjad UUM 1 sehingga 9999 yang telah diluluskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, universiti tersebut adalah antara tujuh buah universiti awam awal yang telah mendapat kelulusan daripada JPJ bagi tujuan penjualan nombor pendaftaran khas kenderaan universiti.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JPU) Kali ke -259 bertarikh 17 Ogos 2019 telah bersetuju meluluskan cadangan untuk melaksanakan penjualan nombor pendaftaran khas UUM dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh universiti.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk memberi peluang kepada staf UUM, alumni, komuniti dan orang awam dalam menzahirkan kebersamaan dengan universiti yang dicintai ini di samping menjana pendapatan universiti.

“Pada 30 Mei 2018, Mesyuarat Jemaah Menteri telah memutuskan untuk memberi kebenaran kepada semua universiti awam Malaysia menjual nombor pendaftaran khas kenderaan sebagai inisiatif untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Bashawir berkata, daripada aspek pelaksanaannya pula, proses penjualan nombor pendaftaran khas ini perlu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan dari tarikh kelulusan yang diberikan dan universiti perlu membuat laporan kepada JPJ secara berkala.

Menurutnya, universiti awam perlu memastikan ia diurus sebaik mungkin dengan pemantauan yang teliti secara berterusan demi menjaga nama baik JPJ, JPT dan universiti.

“Tempahan nombor pendaftaran khas kenderaan ini boleh dibuat secara bidaan dan akan diumumkan melalui pelancaran sebenar setelah urusan pentadbiran melibatkan dengan JPJ dan beberapa pihak berkaitan diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Artikel Berkaitan: