AS bakal undur 4,000 tentera dari Afghanistan

Dilaporkan kira-kira 13,000 anggota tentera AS kini berada di Afghanistan.
Dilaporkan kira-kira 13,000 anggota tentera AS kini berada di Afghanistan.
A
A
A

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Donald Trump bakal mengumumkan rancangan pengunduran kira-kira 4,000 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan seawal minggu ini, lapor media tempatan.

Rundingan antara AS dan Taliban bersambung seminggu lalu selepas kedua-dua pihak cuba mencari jalan mengurangkan keganasan atau mencapai gencatan senjata.

Namun rundingan ditangguhkan oleh Washington Khamis lalu susulan serangan kumpulan militan berhampiran pengkalan udara AS di utara Kabul yang meragut dua nyawa orang awam dan mencederakan puluhan yang lain.

Laporan NBC Sabtu lalu, memetik tiga pegawai dan bekas pegawai AS sebagai berkata, pentadbiran Presiden Trump berhasrat mengumumkan pengunduran 4,000 tenteranya dari Afghanistan.

Dua daripada sumber itu berkata, sesetengah anggota akan diundurkan lebih awal sementara sebahagian yang lain tidak akan diganti apabila misi mereka tamat.

"Kami komited untuk memastikan Afghanistan tidak lagi digunakan sebagai tempat berlindung pengganas yang mengancam AS, sekutu kami serta kepentingan kami," kata jurucakap tentera AS-Afghanistan sambil menambah setakat ini tiada arahan diterima untuk mengurangkan bilangan tentera.

Menurut draf perjanjian pada bulan September, Taliban dikehendaki memenuhi beberapa langkah keselamatan, bersetuju untuk berunding dengan kerajaan Afghanistan dan berjanji mengurangkan keganasan sebagai pertukaran untuk pengunduran tentera AS.

Dilaporkan kira-kira 13,000 anggota tentera AS kini berada di Afghanistan. - AFP

Artikel Berkaitan: