543 kakitangan NSTP terima surat pemberhentian hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 543 pekerja syarikat The New Straits Times Press Malaysia (NSTP) terlibat dalam keputusan pemberhentian membabitkan tempoh perkhidmatan berakhir 12 Mac 2020.

Wartawan dan jurugambar akhbar Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST) yang terlibat itu akan menerima surat pada hari ini.

Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) NSTP, Farah Marshita Abdul Patah berkata, jumlah tersebut juga membabitkan ahli NUJ iaitu 193 orang sekali gus menjadikan hanya 143 ahli yang kekal daripada keseluruhannya seramai 336 orang.

Menurutnya, mereka yang mengalami nasib pemberhentian akan menerima surat pada hari ini.

"Sejujurnya, angka itu bukanlah satu jumlah yang kecil memandangkan ramai di antara kami yang terpaksa berkorban dalam memastikan kelangsungan syarikat.

"NUJ NSTP sangat bersimpati dengan apa yang berlaku dan kami sudah sedaya upaya memperjuangkan semua nasib ahli yang terjejas namun kami akhirnya perlu akur dan menerima keputusan syarikat meskipun ia pahit untuk ditelan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Farah Marshita berkata, paling penting adalah proses pemberhentian berkenaan akan berjalan lancar dan pampasan yang dijanjikan dibayar mengikut lunas undang-undang di samping nasib mereka terus terbela.

Katanya, NUJ NSTP juga juga berharap ini adalah pemberhentian terakhir yang dilakukan syarikat dan tiada lagi pekerja yang terpaksa berkorban.

Artikel Berkaitan:

"Malah NUJ NSTP juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepada syarikat dan pihak pengurusan untuk mengembalikan NSTP ke zaman kegemilangannya," katanya.

Beliau berkata, situasi itu mungkin adalah sesuatu berat untuk ditanggung semua yang terbabit dan juga mereka yang masih kekal, tapi mungkin keputusan itu jugalah yang terbaik buat semua.

"Buat ahli yang akan pergi, NUJ NSTP mendoakan semoga mereka dilimpahkan rezeki dan diberikan kehidupan yang lebih baik di luar sana. Bagi kakitangan yang akan kekal, teruskan berkhidmat bersama syarikat, pesan kami adalah tingkatkan semangat untuk terus maju ke hadapan.

"NUJ NSTP percaya setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Sekali lagi, kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli yang terbabit dalam pemberhentian ini atas kerjasama diberikan selama ini.

"Walaupun apa yang berlaku, ingatlah, anda selamanya akan menjadi sebahagian daripada keluarga NUJ NSTP," katanya.

Difahamkan, keputusan itu akan menyebabkan operasi NSTP di setiap biro di seluruh negara terpaksa dikecilkan kepada wilayah pantai timur yang merangkumi Pahang, Kelantan dan Terengganu, utara (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis) dan selatan (Johor, Negeri Sembilan dan Melaka).

Biro Putrajaya dan Shah Alam juga digabung manakala Sabah serta Sarawak masing-masing kekal satu cawangan dengan dua wartawan akan ditempatkan di setiap biro.

Sebelum ini, operasi akhbar tertua negara iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! terpaksa dihentikan bermula 9 Oktober lalu akibat keputusan penggulungan syarikat secara sukarela sekali gus menyebabkan perkhidmatan seluruh kakitangan terpaksa dihentikan dan sehingga kini mereka masih belum menerima sebarang pampasan daripada pihak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.