Remaja jumpa bangkai ikan lumba-lumba di Pantai Tanjung Gelam

Ahmad Nasrul Hazim menunjukkan gambar bangkai ikan lumba-lumba yang dirakam rakannya yang terdampar di Pantai Tanjung Gelam ketika ditemui hari ini. - Foto: Bernama
Ahmad Nasrul Hazim menunjukkan gambar bangkai ikan lumba-lumba yang dirakam rakannya yang terdampar di Pantai Tanjung Gelam ketika ditemui hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - "Nampak dari jauh saya ingatkan besi sebab saiznya agak panjang dan warnanya kemerah-merahan, tapi bila pergi tengok dekat, memang terkejut sangat rupa-rupanya bangkai ikan lumba-lumba," kata Ahmad Nasrul Hazim Ahmad Rahimi.

Remaja berusia 14 tahun itu dipercayai adalah individu pertama yang terserempak dengan bangkai ikan tersebut di Pantai Tanjung Gelam pada 12 tengah hari semalam.

Dia bersama dua lagi rakannya pergi ke pantai itu untuk bersiar-siar memandangkan cuaca yang agak baik semalam namun tidak menyangka akan terjumpa bangkai haiwan tersebut.

"Kami sempat merakam foto bangkai ikan itu sebagai tanda kenangan dan pulang ke rumah untuk menceritakannya kepada keluarga masing-masing.

"Tetapi, bila saya datang semula ke pantai ini pagi tadi saya terkejut sebab bangkai ikan itu sudah tiada. Tak tahu hilang ke mana," katanya di lokasi bangkai ikan itu di Pantai Tanjung Gelam hari ini.

Pada Khamis lepas, sekumpulan tujuh pelajar jurusan Biologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menyelamatkan seekor ikan lumba-lumba yang ditemui terdampar di pantai tersebut.

Kesemua pelajar tersebut bergegas ke lokasi penemuan sebaik sahaja mendapat maklumat daripada penduduk kampung dan mengambil masa kurang lima minit untuk mengangkat ikan lumba-lumba itu ke kawasan yang lebih dalam namun haiwan itu terlalu lemah dan tidak berdaya menahan hempasan ombak yang terlalu kuat.

Ketika lumba-lumba itu ditemui, terdapat sedikit kesan luka di kepala ikan tersebut dan ia sudah mula mendengus menandakan dalam kesakitan namun akhirnya lumba-lumba tersebut berjaya berenang semula ke lautan.

Artikel Berkaitan:

Gambar bangkai ikan lumba-lumba yang dirakam orang awam terdampar di Pantai Tanjung Gelam.
 - Foto: Bernama
Gambar bangkai ikan lumba-lumba yang dirakam orang awam terdampar di Pantai Tanjung Gelam.
 - Foto: Bernama

Sementara itu, Ketua Cawangan Mamalia Marin, Bahagian Penyelidikan Penyu & Spesies Marin Terancam di Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad mengesahkan bangkai tersebut adalah ikan yang sama ditemui terdampar pada Khamis lepas.

"Jabatan Perikanan Terengganu ada menerima laporan penemuan bangkai tersebut dan telah melupuskannya dengan kaedah menanam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bersama penduduk kampung petang semalam.

"Lumba-lumba tersebut memang telah cedera ketika ditemui terdampar kali pertama dan tidak mampu melawan ombak kuat musim tengkujuh untuk kembali berenang bersama kawanan yang terpisah.

"Mungkin juga organ dalamannya cedera akibat makanan yang tidak boleh dihadam sama ada tulang ikan atau plastik. Secara semula jadinya juga, lumba-lumba akan ke pesisir pantai jika ia hampir mati," katanya.

Mohd Tamimi berkata, ikan tersebut tidak dibedah siasat kerana ia sudah mati lebih dari 24 jam yang organ dalamannya sudah mula mengalami proses pereputan.

FRI Rantau Abang juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penduduk kampung yang semakin prihatin dengan kes kedamparan haiwan marin terancam seperti ini, katanya. - Bernama