Terkejut ikan naga laut tersangkut pada pukat

Harun menunjukkan ikan naga laut atau dikenali sebagai oarfish yang tersangkut pada pukat hanyut yang ditahan pada Jumaat.
Harun menunjukkan ikan naga laut atau dikenali sebagai oarfish yang tersangkut pada pukat hanyut yang ditahan pada Jumaat.
A
A
A

KUALA NERUS - Seorang nelayan terkejut apabila menemukan seekor ikan naga laut atau dikenali sebagai oarfish yang tersangkut pada pukatnya kira-kira 100 meter dari Pantai Teluk Ketapang di sini pada Jumaat.

Harun Jusoh, 63, berkata, dia menemukan haiwan sepanjang kira-kira dua meter itu ketika memungut hasil tangkapan untuk dibawa pulang ke jeti sekitar jam 8.30 pagi.

"Waktu nak angkat pukat saya perasan ada sesuatu yang ganjil. Saya nampak benda berat dan panjang tersangkut pada pukat. Masa tu saya tak pasti lagi ikan apa.

"Sebaik sampai di jeti, nelayan yang lain terus mengerumuni ikan tu dan ada yang mencadangkan supaya saya serahkan kepada pihak UMT (Universiti Malaysia Terengganu) untuk dibuat kajian," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurut Harun, ikan itu telah diserahkan kepada pegawai dari Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) untuk proses kajian.

Bercerita lanjut, Harun berkata, pengalaman terjumpa ikan itu pertama kali dilalui sepanjang mengikut ayahnya ke laut sejak kecil.

"Sebenarnya ada juga yang kata ikan ini boleh dijual dengan harga tinggi kerana ada peminat tersendiri tapi saya lebih selesa beri kepada UMT agar banyak pihak dapat manfaat.

"Saya rasa bertuah kerana dapat menyumbangkan sesuatu kepada UMT sebagai bahan untuk kajian dalam bidang sains marin," katanya.

Sementara itu, Kurator Kanan RRC Institut Oseanografi dan Sekitaran UMT, Azwarina Mohd Azmi Ramasamy berkata, spesies tersebut memang ada di perairan negara namun sangat jarang ditemui kerana biasanya berada di laut dalam.

Katanya, berdasarkan rekod, spesies itu pernah ditemui beberapa kali pada 2012 di pantai Pengkalan Maras sebelum ditemukan pada 2015 di Pulau Redang dan sekali lagi dijumpai pada 2018 dan 2020 di Miri, Sarawak.

"Salah satu spesimen 2012 masih berada di dalam Galeri Penyelidikan INOS untuk paparan masyarakat manakala spesimen terawal yang dijumpai pula berada di dalam pameran Muzium Negeri Terengganu.

"Ketika ini sampel ikan itu dikuarantin selama 24 jam sebelum kerja-kerja post-mortem dilakukan pihak UMT," jelas beliau.