Pemandu lori maut, dua penumpang parah nahas dua lori

Keadaan lori yang dipandu mangsa terbabit kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran awal pagi tadi. - Foto: JBPM
Keadaan lori yang dipandu mangsa terbabit kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran awal pagi tadi. - Foto: JBPM
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah treler di KM86, Jalan Kuantan - Kuala Lumpur dekat Maran awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mazwan Faiz Basiran, 31, dari Kampung Pandan 2 meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua penumpang warga Myanmar, Aung Min, 39, dan Tuaye Myant dilaporkan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pemandu treler, Mohd Shafie Khamsi, 47 dari Mentakab, cedera di bahagian dada dan tangan kiri.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bersama dua penumpang dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Kuala Lumpur.

"Treler jenis Volvo membawa muatan besi buruk pula dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju ke Gebeng.

"Pemandu treler mendakwa, ketika tiba di tempat kejadian (laluan berselekoh), lori dipandu Mazwan dari arah bertentangan tiba-tiba terbabas dan masuk ke laluannya. Akibatnya berlaku perlanggaran secara berdepan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kamarulzaman berkata, akibatnya treler terbabit terbabas dan melanggar kawasan berbukit di sebelah kanan jalan.

"Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Jengka untuk proses bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.