Mangsa banjir di Rompin meningkat

Penduduk kampung di Rompin diiringi anggota keselamatan berpindah selepas kampung mereka dinaiki air banjir semalam. Foto: Bernama
Penduduk kampung di Rompin diiringi anggota keselamatan berpindah selepas kampung mereka dinaiki air banjir semalam. Foto: Bernama
A
A
A

KUANTAN - Jumlah mangsa banjir di daerah Rompin meningkatkan kepada 637 orang pada jam 8 pagi ini berbanding 142 orang, jam 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Penolong Pesuruhjaya (PA), Zainal Yusof berkata, berikutan itu sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah itu bagi menempatkan 170 keluarga yang terjejas.

Menurutnya, PPS terbabit ialah Balai Kampung Sepayang melibatkan seramai 35 mangsa, Dewan Teluk Gading (26 mangsa), Balairaya Lintang atau Surau Kampung Perpat membabitkan empat keluarga (28 mangsa).

"Enam lagi PPS yang dibuka ialah Balairaya Kampung Janglau (34 mangsa), Dewan Kampung Setajam (159 mangsa), Dewan Angkat Berat (42 mangsa), Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggau (263 mangsa), Balai Raya Bukit Lepas ( 33 mangsa) dan SK Sarang Tiong (66 mangsa).

"Kesemua mangsa dipindahkan dengan kerjasama Jawatankuasa Bencana Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainal turut memaklumkan, tiga jalan di Rompin kini ditutup kepada kenderaan sejak 11 malam tadi iaitu Jalan Kampung Denai, Jalan Kampung Sungai Mok dan Jalan Lubuk Batu.

"Paras Sungai Pukin di Rompin juga kini 0.13 meter melepasi tahap waspada dengan jangkaan berlaku hujan pagi ini.

"Bagaimanapun, sembilan lagi sungai di daerah sama menunjukkan trend meningkat, namun masih berada di tahap normal," katanya.

Artikel Berkaitan: