X

Kindly register in order to view this article
!

Liga-M 2020 buka tirai 28 Februari

MFL
A
A

SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 dijadualkan bakal membuka tirai secara rasminya pada 28 Februari.

Dalam satu kenyataan media semalam, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan prosedur rapi serta proses Economic Control Programme (ECP) menjadi faktor Liga-M 2020 bermula agak lewat berbanding musim-musim sebelum ini.

Keputusan itu telah diputuskan Ahli Lembaga Pengarah MFL pada satu mesyuarat Khamis lalu selepas mengambil kira proses untuk menyemak bajet daripada setiap pasukan mengambil masa sebulan.

“Kesemua pasukan harus menyerahkan bajet kepada MFL sebelum tarikh tutup pada 15 Disember ini di mana MFL akan mengenal pasti atau mengesahkan kos sebenar skuad utama mereka yang dibenarkan pada 15 Januari tahun depan.

“Kemudian pasukan-pasukan barulah dibenarkan untuk mendaftarkan pemain sebaik jendela perpindahan pertama Liga-M dibuka pada 16 Januari hingga 15 Mac tahun depan.

“Jadi proses dan prosedur ECP ini harus dipatuhi oleh setiap pasukan. Tempoh masa ini bagi memastikan persediaan mereka berada dalam tahap terbaik selaras pengenalan ECP pada musim depan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, Liga-M 2021 dijangka bermula lebih awal berikutan setiap pasukan dikehendaki menyerahkan bajet kewangan pasukan utama pada 31 Oktober 2020 dan keputusan kelulusan struktur kewangan mereka diumumkan pada 30 November 2020.

Bagi saingan musim ini, sejumlah 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Premier akan berentap memburu kejuaraan yang bakal berakhir pada 19 Julai 2020.

Tirai Liga-M 2020 akan disingkap pada 28 Februari dengan perlawanan Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Piala FA, Kedah di Stadium Sultan Ibrahim Larkin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus