PGA9 rampas rokok putih bernilai RM750,000

Mohamad Azlee (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang diseludup yang berjaya dirampas pagi tadi di simpang tiga mukim Tujoh bernilai RM790,000 pada sidang media di Balai Polis Pos Kuala Jambu hari ini. - Foto: Bernama
Mohamad Azlee (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok putih yang diseludup yang berjaya dirampas pagi tadi di simpang tiga mukim Tujoh bernilai RM790,000 pada sidang media di Balai Polis Pos Kuala Jambu hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

TUMPAT - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) berjaya merampas 2,500 karton rokok putih jenama Manchester bernilai RM750,000 dan menahan seorang pemandu lori berumur 35 tahun di Kampung Geting dekat Pengkalan Kubor, di sini awal pagi tadi.

Pegawai operasinya, Asisten Superintendan Mohamad Azlee Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, anggota Strike Force PGA9 yang membuat rondaan bermotosikal ternampak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengekori kenderaan itu sejauh lebih 2 kilometer.

Beliau berkata, pemandu lori itu dipercayai mengambil bekalan rokok berkenaan di satu pangkalan haram di Pengkalan Kubor dan sedang dalam perjalanan menghantarnya kepada pihak lain semasa ditahan.

Menurutnya, semua barang kes dan lori yang ditahan dianggarkan bernilai RM790,000 itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Ini adalah kes rampasan rokok pertama bagi PGA9 sejak mengambil alih tugas Ops Wawasan pada 16 November lepas,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Kuala Jambu di sini hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: