Penjenayah rempuh polis cedera ditembak

Seorang penjenayah cedera terkena satu das tembakan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Jalan Ipoh semalam. Foto: PDRM
Seorang penjenayah cedera terkena satu das tembakan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan di Jalan Ipoh semalam. Foto: PDRM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah cedera terkena tembakan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis di Jalan Ipoh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke lokasi selepas menerima maklumat berhubung seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 6.30 petang.

“Polis cuba memeriksa seorang lelaki berusia 30-an di kawasan parkir berhampiran Kem Batu Kentonmen di Jalan Ipoh selepas mendapat maklumat.

“Bagaimanapun, selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, suspek secara tiba-tiba terus mengundurkan kereta dalam keadaan laju dan bahaya.

"Anggota polis kemudian bertindak melepaskan tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek, namun suspek memecut laju dan melarikan diri ke arah ke jalan mati," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek sekali lagi mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis, namun polis berjaya mengelak walaupun terjatuh dari motosikal.

“Suspek turut merempuh sebuah kenderaan Perodua Myvi milik orang awam di parkir di kawasan itu sebelum seorang anggota polis melepaskan tembakan ke arah cermin hadapan dan terkena suspek,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek terkena tembakan di bahagian lengan kanan.

Artikel Berkaitan:

“Hasil semakan mendapati suspek merupakan orang yang dikehendaki, mempunyai 11 rekod jenayah lampau.

"Suspek juga disahkan positif dadah, malah kereta digunakan suspek iaitu sebuah kereta jenis Mazda adalah kereta yang pernah dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya.

“Lelaki berkenaan kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan." katanya.

Katanya, proses permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.