Bekalan air terawat tambahan hanya diberi 2 hari
JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengesahkan bekalan air terawat tambahan sebanyak enam juta gelen sehari (mgd) hanya berlaku pada 2 dan 3 Januari lalu.
Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia bagi memenuhi keperluan kecemasan akibat berlaku pencemaran di Sungai Johor.
Menurutnya, pencemaran itu akibat ban kolam takungan cucian pasir yang pecah dari lombong pasir darat yang terdapat di kawasan tadahan Sungai Johor.
"Ia menyebabkan kadar turbiditi yang tinggi hingga menyebabkan air mentah tidak dapat diproses menjadi air terawat.
"Bekalan tambahan ini hanya berlaku untuk tempoh dua hari dan ia mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Kerajaan Johor melalui Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ)," katanya.
Jimmy Puah berkata, kerjasama di antara Kerajaan Johor melalui Bakaj dan Public Utilities Board (PUB), Singapura sentiasa baik bagi memastikan rakyat Johor terus menikmati bekalan air terawat berterusan.
Selain itu, katanya, Kerajaan Johor akan mengambil tindakan tegas kepada pengusaha lombong pasir darat yang menyebabkan pencemaran sungai.
"Tindakan tegas kerana gagal menyelenggara dengan baik kawasan lombong pasir yang diusahakan dalam tempoh terdekat.
"Kerajaan negeri tidak akan kompromi dengan mana-mana pihak yang mencemarkan sumber bekalan air," katanya.
Beliau berkata, tindakan tegas sewajarnya bakal dikenakan kerana kerajaan memandang berat isu gangguan air yang akan dihadapi rakyat apabila berlakunya pencemaran sungai.
Terdahulu, media tempatan dan Singapura melaporkan PUB menyediakan bekalan air terawat tambahan kepada Malaysia selepas pengeluaran air terawat loji Johor terjejas akibat pencemaran.
PUB memaklumkan pengeluaran di loji rawatan air Johor terganggu akibat pencemaran pada tadahan air sungai, namun loji air Sungai Johor PUB tidak terjejas akibat insiden itu.
Ia dilakukan atas permintaan Johor dan PUB membantu menangani gangguan bekalan dengan membuka paip loji Pasir Gudang PUB dan membekalkan enam juta gelen sehari (mgd) air terawat tambahan sehari.