Isu PKM: Maaf saya tak mahu komen...

Ronnie Liu
Ronnie Liu
A
A
A

SHAH ALAM - "Maaf saya tak mahu komen nanti orang salah faham."

Demikian reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew berkaitan desakan UMNO dan Pas yang memintanya menarik balik kenyataannya sebelum ini yang melahirkan simpati dan mengagungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Bagaimanapun, Ronnie Liu menjelaskan, kehadiran beliau pada perjumpaan dengan kumpulan berkenaan di Kajang pada 1 Disember lalu, bukan untuk melahirkan simpati dan mengagungkan perjuangan PKM, sebaliknya meraikan perjanjian damai.

"Dan berkaitan titah Sultan Selangor, bukannya merujuk kepada saya secara langsung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: PKM: UMNO, Pas Selangor desak Ronnie Liu tarik balik kenyataan

Terdahulu, UMNO dan Pas dalam kenyataan bersama mendesak Ronnie Liu menarik balik kenyataannya dan menggesa wakil rakyat DAP itu segera memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas tindakan yang disifatkan sebagai biadab.

Menurut kenyataan itu, UMNO dan Pas turut menuntut supaya tiada lagi mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Selangor.

Sultan Selangor ingatkan rakyat tidak agungkan PKM

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin ketika Sambutan Ulang tahun Keputeraan baginda ke-74, semalam pula mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan PKM sehingga terlibat mengagungkan pimpinan dan perjuangan mereka.

Baginda bertitah, walaupun PKM menentang penjajah, namun perjuangan mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.