PKM: UMNO, Pas Selangor desak Ronnie Liu tarik balik kenyataan

Laporan Sinar Harian berkaitan peringatan oleh Sultan Selangor.
Laporan Sinar Harian berkaitan peringatan oleh Sultan Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu Tian Khiew didesak menarik balik kenyataannya yang sebelum ini melahirkan simpati dan mengagungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Pengerusi UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menerusi kenyataan bersama turut menggesa wakil rakyat DAP itu segera memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas tindakan yang disifatkan sebagai biadab.

Menurut kenyataan itu, UMNO dan Pas turut menuntut supaya tiada lagi mana-mana pihak mengambil kesempatan menganjurkan apa-apa majlis atau keramaian bagi memperingati perjuangan pengganas PKM di Selangor.

"Pas dan UMNO Selangor merafak sembah dan menjunjung kasih serta taat setia atas kebijaksanaan titah tuanku dan menyeru seluruh penyokong dan ahli kedua-dua parti di Selangor mengambil iktibar dan mengutuk sebarang usaha mengelirukan fakta sejarah, apatah lagi mengagungkan pimpinan serta perjuangan PKM yang merupakan musuh negara," kata kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin ketika Sambutan Ulang tahun Keputeraan baginda ke-74, semalam, mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah sebenar berhubung perjuangan PKM sehingga terlibat mengagungkan pimpinan dan perjuangan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Selangor ingatkan rakyat tidak agungkan PKM

Ronnie Liu pertahan tindakan sertai perjumpaan

Titah baginda, walaupun PKM kononnya dikatakan menentang penjajah, namun perjuangan mereka bukannya berlandaskan konsep pembentukan negara Malaysia merdeka yang berteraskan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Terdahulu, Ronnie Liu hadir sebagai tetamu khas dalam satu majlis memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang diadakan di Kajang.

Artikel Berkaitan:

Lebih 300 veteran dan bekas pejuang PKM menghadiri majlis itu.

Ronnie Liu dalam ucapannya melahirkan simpati kepada perjuangan PKM dan berbangga bahawa datuk dan abangnya pernah bersama perjuangan PKM.