Guru robotik terima anugerah mentor di China

Mazlan tidak sangka akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mentor di World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China minggu lalu.
Mazlan tidak sangka akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Mentor di World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China minggu lalu.
A
A
A

PEKAN - Guru pendidikan agama di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Terentang di sini berjaya memenangi anugerah mentor pada World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China minggu lalu.

Mazlan Muhamad Yusof, 38, berkata, beliau tidak menyangka akan mendapat pengiktirafan tertinggi itu dalam bidang robotik.

Menurutnya, pengiktirafan itu amat membanggakan selepas dua tahun terlibat dalam bidang robotik.

"Terus terang saya cakap masih terlalu awal saya menerima anugerah kerana masih baru dalam bidang robotik. Masih ramai peserta yang berpengalaman dan berkebolehan daripada saya ketika pertandingan itu diadakan.

"Tapi itulah orang kata bila sudah jadi rezeki saya... semua akan berpihak kepada saya dan saya sedikit tidak menyangka biodata peribadi dan video pendek selama dua minit yang mengisahkan usaha saya mengajar murid sekolah luar bandar menjadi pilihan juri," katanya ketika ditemui di Sk Terentang semalam.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafa.

Mohd Razali (kanan) melihat ciptaan Mazlan dan murid SK Seri Terentang.
Mohd Razali (kanan) melihat ciptaan Mazlan dan murid SK Seri Terentang.

Mazlan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat berkata, anugerah itu akan menjadi pembakar semangat beliau untuk terus menceburi bidang robotik di peringkat sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan buktikan hanya dengan minat, kejayaan mampu berpihak pada seseorang selagi ada usaha dan kesungguhan untuk terus maju.

"Saya juga akan terus berusaha membantu murid SK Seri Terentang untuk terus berjaya dalam bidang robotik," katanya.

Menurutnya, selepas ini beliau akan menyertai lebih banyak pertandingan dalam usaha menaikkan imej SK Seri Terentang.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, lebih 300 pasukan membabitkan 60 negara bersaing pada World Championship MakeX Robotics Competition namun empat guru pembimbing sahaja layak bersaing di peringkat akhir untuk merebut anugerah itu.