Agong lawat perpustakaan British di UK

Sultan Abdullah beramah mesra dengan hadirin pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK). - Foto Bernama
Sultan Abdullah beramah mesra dengan hadirin pada majlis santapan malam bersama rakyat Malaysia di United Kingdom (UK). - Foto Bernama
A
A
A

LONDON - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang dalam rangka lawatan khas ke United Kingdom (UK) meluangkan masa melawat Perpustakaan British, yang terkenal sebagai antara perpustakaan terbesar di dunia berdasarkan jumlah item yang disenaraikan.

Ketibaan Yang di-Pertuan Agong disambut oleh pengerusi Perpustakaan British, Dame Carol Black pada pagi tadi yang diselubungi cuaca sangat sejuk.

Sepanjang dua jam lawatan itu, Seri Paduka Baginda dibawa melihat koleksi surat diraja dalam tulisan Jawi dan manuskrip oleh Ketua Seksyen Asia Tenggara Datuk Dr Annabel Teh Gallop.

Ia termasuk satu carta abad ke-17 mengenai Asia Tenggara dan pelan perancangan bandar Melaka.

Perpustakaan itu mempunyai lebih 170 juta item merangkumi dari hampir semua bahasa dan kumpulan kepercayaan.

Lebih 400,000 pengguna dari seluruh dunia datang melawat bilik bacaan perpustakaan berkenaan setiap tahun.

Sementara itu, Annabel yang fasih berbahasa Melayu berkata, bagi seksyen Melayu terdapat kira-kira 10,000 buku, majalah dan akhbar bercetak dan 1,000 manuskrip bertulisan tangan dalam Bahasa Melayu dan Jawi.

"Antara yang kita tunjukkan kepada Seri Paduka hari ini ialah surat Sultan Johor dan Pahang, Sultan Mahmud Shah yang diutus kepada Sir Stafford Raffles pada tahun 1811 ditulis dalam tulisan Jawi yang amat cantik dan dihiasi dengan ukiran keemas-emasan yang sangat indah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bahan sejarah berkenaan antaranya berasal daripada koleksi para pegawai British seperti Raffles dan John Crawfurd.

"Koleksi di perpustakaan ini lebih kaya di bidang sastera, sejarah dan undang-undang manakala dalam koleksi yang ada di Perpustakaan Negara Malaysia lebih kaya di bidang agama," katanya yang dibesarkan di Brunei. - Bernama