Dicekup ketika mahu pulangkan pakaian dalam dicuri

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Kes kehilangan pakaian dalam wanita yang membelenggu penghuni sebuah rumah sewa di taman perumahan dekat Mambau di sini sejak Oktober lalu akhirnya terbongkar dengan penangkapan seorang lelaki semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam tadi, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan orang awam ketika menceroboh rumah sewa berkenaan kononnya mahu memulangkan semula pakaian dalam yang dicuri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, pihaknya masih melakukan siasatan motif sebenar suspek melakukan jenayah berkenaan.

"Penghuni rumah berkenaan wanita berusia 23 tahun yang juga penuntut IPTA (institusi pengajian awam) di daerah ini telah membuat laporan polis pada jam 2 pagi memaklumkan kejadian itu.

“Mangsa beritahu dapat tahu suspek lelaki berumur 31 tahun itu ditangkap orang awam kerana menceroboh masuk ke kawasan rumah sewanya di Mambau pada jam 12.30 tengah malam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu mengaku sebelum ini pernah mencuri beberapa pakaian dalam milik mangsa dan ingin memulangkannya semula.

Bagaimanapun katanya, tujuan suspek mencuri pakaian dalam mangsa masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Pemeriksaan mendapati, suspek yang bekerja di pelantar luar pesisir pantai itu tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan awal air kencing dilakukan pula negatif.

Artikel Berkaitan:

"Dia kini telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 13 Disember untuk siasatan lanjut. Suspek mengaku mencuri pakaian dalam wanita di taman perumahan terbabit beberapa kali sejak Oktober lalu," katanya.