X

Kindly register in order to view this article
!

Plus rangkul 'Prince Micheal International Road Safety Award' di London

A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (Plus) merangkul anugerah Prince Michael International Road Safety Award di The Savoy, London, semalam, sekali gus menjadi syarikat lebuh raya Asia pertama menerima anugerah antarabangsa melibatkan keselamatan jalan raya.

Anugerah berkenaan disampaikan Putera Michael daripada keluarga diraja Britain kepada Pengarah Urusan Plus, Datuk Azman Ismail sebagai mengiktiraf kejayaan Plus melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan di sepanjang 1,134.1 kilometer lebuh rayanya di Semenanjung Malaysia.

Azman berkata, anugerah itu telah membuktikan bahawa Plus diiktiraf sebagai lebuh raya bertaraf dunia yang mematuhi ciri-ciri keselamatan yang tinggi di peringkat antarabangsa.

“Ini mengesahkan bahawa Plus ialah sebuah organisasi yang mengutamakan dan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Plus merupakan antara 23 penerima anugerah daripada 70 pencalonan yang bermutu tinggi dari seluruh dunia yang diraikan dalam majlis yang dihadiri lebih daripada 350 pakar keselamatan jalan raya antarabangsa dan ahli profesional.

Sebagai syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia yang memberi perkhidmatan kepada lebih 1.7 juta pelanggan setiap hari termasuk 3,000 pekerja lebuh raya, Plus mengambil pendekatan 3E yang merangkumi aspek Kejuruteraan, Penguatkuasaan dan Pendidikan dalam menguruskan keselamatan jalan raya sejak 2017.

Dari segi pendidikan, Plus berkolaborasi bersama Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan memperkenalkan Pasport Keselamatan Operasi Lebuhraya (EOSP).

“Sejurus pelaksanaannya, EOSP telah menyumbang kepada penurunan kadar kematian dalam kalangan petugas dan kontraktor yang menjalankan kerja mereka di lebuh raya sebanyak 75 peratus,” menurut kenyataan itu.

Putera Michael, dengan gelaran Prince Michael of Kent, merupakan pendukung utama keselamatan jalan raya yang menyokong Misi Sedekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu sebuah program antarabangsa yang berwawasan tinggi dan telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa dan menggalakkan amalan keselamatan yang baik.

Sejak 1987, anugerah itu telah memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh Britain. Kini Prince Michael International Road Safety Awards mengiktiraf pencapaian dan inovasi luar biasa di seluruh dunia setiap tahun yang inisiatif keselamatan jalan raya paling cemerlang diberikan pengiktirafan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!