RM120 juta naik taraf 120 mahkamah seluruh negara

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memperuntukkan RM120 juta bagi projek menaiktaraf dan kerja pemuliharaan 120 buah bangunan mahkamah di seluruh negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu diberi secara ‘one-off’ melalui Rolling Plan Keempat Tahun 2020 di bawah Peruntukan Pembangunan.

Menurutnya, projek tersebut melibatkan kerja naik taraf dan pemuliharaan meliputi pembaikan kritikal melibatkan bumbung, dinding, saluran paip, pendingin hawa dan sistem pencegahan kebakaran.

“Tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama dua tahun. Kementerian mengambil perhatian serius mengenai permohonan untuk menaiktaraf dan memulihara kebanyakan bangunan mahkamah yang lama dan mengalami kerosakan kritikal.

“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan operasi mahkamah malah keselamatan pengguna terutamanya hakim, kakitangan mahkamah, peguam dan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, kerajaan yakin peruntukan yang diberikan dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan mahkamah kepada orang awam.

Untuk rekod, bilangan mahkamah yang terlibat adalah mengikut negeri iaitu di Johor (13), Melaka (3), Negeri Sembilan (8), Selangor (12), Putrajaya (1), Perak (18), Pulau Pinang (5), Kedah (10), Kelantan (10), Terengganu (6), Pahang (9), Sarawak (5), Sabah (19) dan Labuan (1).

Artikel Berkaitan: