57 premis runcit dibenar simpan stok barang kawalan

Pengurus Projek dan Operasi Ten Ten Cawangan Jalan Beserah, Phua Kia Tin (dua dari kanan) menerima Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan daripada Mohd Suffian (dua dari kiri)
Pengurus Projek dan Operasi Ten Ten Cawangan Jalan Beserah, Phua Kia Tin (dua dari kanan) menerima Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan daripada Mohd Suffian (dua dari kiri)
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 57 premis runcit di negeri ini dipilih sebagai Pemegang Mini Stok yang boleh menyimpan sehingga 25 peratus lebihan barangan kawalan pada musim banjir.

Barangan kawalan terbabit ialah gula, minyak masak, tepung gandum, gas petroleum cecair (GPC) dan petrol diesel.

Ketua Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Mohd Suffian Mohd Abass berkata, daripada jumlah itu sebanyak 19 premis di Kuantan, masing-masing 8 di Temerloh dan Raub, 4 di Rompin dan Bera dan 14 di Jerantut.

Menurutnya, usaha itu dilakukan menerusi Pelan Kontingensi Menghadapi Musim Banjir KPDNHEP Pahang bagi memastikan tiada gangguan bekalan barangan harian kepada pengguna sepanjang musim tengkujuh.

"Setakat ini, peniaga memberi jaminan bekalan pada musim banjir mencukupi. KPDNHEP juga akan teruskan pemantauan," katanya pada Majlis Penyerahan Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan di Pasaraya Ten Ten Jalan Beserah di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain Mohd Suffian berkata, pelaksanaan Subsidi Petrol (PSP) bermula Januari depan dijangka memberi impak tidak langsung ke atas perubahan harga barangan di negeri Pahang.

Sehubungan itu katanya, Ops Catut (PSP) 6.0 dilaksanakan bagi menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga secara tidak terkawal.

"Kementerian sedar harga barangan di pasaran kini mengalami kenaikan dan penurunan kesan faktor penawaran, persaingan, cuaca, peningkatan kos, termasuk harga bahan mentah dan kadar upah, pengaruh pengeluar asal dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan PSP juga dijangka memberi impak. Jadi operasi ini melibatkan semua rantaian pembekalan dan pengedaran barangan di peringkat pengilang, pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit.

Ops Catut 6.0 dijalankan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

KPDNHEP Pahang juga terlibat langsung dalam Jawatankuasa Kecil Perkhidmatan (JKPP), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Kecil Bekalan dan Pusat Pemindahan dalam memastikan bekalan mencukupi di pusat pemindahan sementara (PPS) yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).