TH umum peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah

Tabung Haji - Foto Bernama
Tabung Haji - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah yang memberi lebih nilai tambah dan manfaat kepada pendeposit tanpa menjejaskan apa-apa kemudahan dan manfaat akaun sedia ada, berkuat kuasa 31 Disember 2019.

Dalam kenyataan hari ini, TH berkata, peralihan tersebut bagi menggantikan kontrak simpanan Wadiah Yad Dhamanah yang digunakan sebelum ini.

“Menerusi kontrak baharu ini, TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan operasi haji dengan keuntungan yang dijana pada setiap tahun akan diagihkan kepada pendeposit berdasarkan prestasi kewangan TH.

“TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatannya dengan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan demi manfaat pendeposit,” menurut TH.

TH berkata, pendeposit tidak perlu mengisi apa-apa dokumen baharu, dan boleh berurusan seperti biasa di mana-mana pejabat cawangan TH di seluruh negara.

“Dengan mengekalkan deposit bersama TH selepas 31 Disember 2019 pendeposit dianggap telah memberi persetujuan terhadap peralihan kepada kontrak simpanan berkonsepkan Wakalah ini,” katanya.

Terma dan syarat akaun TH boleh dirujuk di www.tabunghaji.gov.my/wakalah. - Bernama

Artikel Berkaitan: