Macau Scam: Operator kilang rugi RM110,000

No Image Caption
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang operator kilang kerugian RM110,000 selepas wanita itu diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit dalam kejadian di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A Anbalagan berkata, dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 58 tahun yang sedang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas di sini menerima panggilan telefon daripada sebuah bank memaklumkan wanita itu mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM7,000.

"Menurut mangsa, lelaki yang mendakwa sebagai pegawai bank itu kemudiannya menyambungkan talian telefon itu kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pegawai di Bank Negara yang kononnya dapat membantu wanita berkenaan," katanya di sini hari ini.

Katanya, lelaki itu mengarahkan mangsa supaya pergi ke bank untuk menyekat data peribadinya dan wanita berkenaan mengikut segala arahan suspek melalui panggilan telefon bagi membuat pertukaran data peribadi kad operator kilang itu kononnya untuk keselamatan.

Menurutnya, mangsa telah pergi ke dua buah bank di Bayan Baru dan membuat urusan serta pertukaran maklumat peribadi itu tanpa menyedari dia telah melakukan transaksi kewangan kepada sindiket tersebut.

Anbalagan berkata, mangsa membuat dua transaksi ke dalam dua akaun berasingan membabitkan jumlah RM50,000 serta RM60,000 dan dia hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi semula lelaki yang mendakwa sebagai pegawai dari Bank Negara itu.

"Kedua-dua transaksi itu dipindahkan ke akaun milik dua wanita dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dua wanita berkenaan serta ahli sindiket Macau Scam itu," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon yang mengarahkan membuat apa-apa transaksi dan jangan mendedahkan sebarang maklumat peribadi serta bank kepada sesiapa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama