Kereta doktor terhumban dalam sungai

Kereta yang dinaiki mangsa terperangkap dalam sungai dengan kedalaman 0.3 meter.
Kereta yang dinaiki mangsa terperangkap dalam sungai dengan kedalaman 0.3 meter.
A
A
A

SEGAMAT - [DIKEMASKINI] Seorang doktor berdepan detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum terhumban dalam sungai di Jalan Felda Redong di sini pagi tadi.

Difahamkan, sebelum kejadian, wanita berusia 25 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat tempoh bertugas di Hospital Segamat.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, Pegawai Bomba Kanan II, Sharfini Nasar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.22 tengah hari.

“Kejadian membabitkan kemalangan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita ketika menyusuri jalan berkenaan sebelum terbabas dan memasuki kawasan sungai berhampiran.

“Kereta dinaiki mangsa itu kemudiannya terperangkap dalam sungai dengan kedalaman 0.3 meter sebelum diselamatkan anggota kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sharfini berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dihantar ke Hospital Segamat dengan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Mangsa dibawa ke hospital dengan ditemani ibunya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.33 petang,” katanya.

Artikel Berkaitan: