Malaysia hantar bantahan rasmi penarikan emas Izzah

Atlet gimnastik berirama Izzah Amzan bersama pingat Emas yang dimenanginya. - Foto Bernama
Atlet gimnastik berirama Izzah Amzan bersama pingat Emas yang dimenanginya. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA telah mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) susulan pingat emas dimenangi gimnas kebangsaan, Izzah Amzan dalam apparatus riben pada 7 Disember lalu didapati telah ditarik balik.

Semakan di dalam laman sesawang rasmi Sukan SEA Filipina, gms.2019seagames.com hari ini mendapati Izzah yang sepatutnya mempunyai dua pingat emas hanya tinggal satu sahaja. Izzah sebelum ini memperoleh dua emas masing-masing menerusi acara bola dan riben.

Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan, perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku memandangkan majlis penyampaian pingat telah diadakan selepas berakhirnya acara berkenaan.

"Ini bukan yang mudah kerana ia melibatkan imej negara yang mengambil bahagian dan mereka (PHISGOC) terima bantahan ini dan saya maklumkan kepada mereka untuk memasukkan semula pingat emas berkenaan (dalam carta kutipan pingat) selewat-lewatnya pada hari ini," katanya pada sidang media khas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain menegaskan Malaysia akan memanjangkan perkara berkenaan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sekiranya isu berkenaan gagal diselesaikan oleh PHISGOC.

"Menerusi pertemuan (dengan wakil PHISGOC) pagi tadi, saya telah membentangkan beberapa klausa dalam buku teknikal dan saya fikir mereka faham dan setuju, cuma apa yang kita kesalkan adalah (keputusan) delegasi teknikal (pertandingan gimnastik berirama)," kata Megat Zulkarnain.

Beliau mendakwa perkongsian pingat emas pernah berlaku dalam sukan gimnastik berirama pada edisi 2015 di Singapura dengan menyaksikan Koi Sie Yan dan Shasangari Sivaneswari Nagarajan dinobatkan selaku pemenang bersama dalam acara individu all-around.

Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Rachel Lau sebelum ini dilaporkan telah menghantar bantahan rasmi kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) susulan beberapa keputusan kontroversi yang membabitkan gimnas negara.

Artikel Berkaitan:

Sie Yan dan Izzah mencatat kutipan 15.200 mata dalam apparatus riben pada 7 Disember lalu tetapi juri mengisytiharkan Sie Yan sebagai pemenang pingat emas manakala Izzah di tempat kedua berdasarkan perbezaan tahap kesukaran melakukan rutin.

Pihak teknikal pertandingan, bagaimanapun, mengisytiharkan kedua-dua gimnas negara itu sebagai pemenang bersama selepas kem negara membuat bantahan terhadap keputusan awal oleh pihak juri. - Bernama