X

Kindly register in order to view this article
!

Kapal berlabuh tanpa kebenaran ditahan

APMM Johor menahan sebuah kapal tangki di kedudukan lebih kurang 4 6 batu nautika timur Tanjung Penyusop, Kota Tinggi.
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal tangki berdaftar di Vietnam kerana berlabuh tanpa kebenaran kira-kira 4.6 batu nautika timur Tanjung Penyusop di sini kira-kira jam 9 pagi hari ini.

Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal MT Viet Tin 01 itu dikesan bersauh di kawasan laluan utama kapal dagang yang mengundang bahaya kepada kapal-kapal lain yang melalui kawasan tersebut.

“Jurutera kapal tersebut, seorang lelaki warga Vietnam berumur 61 tahun menyatakan bahawa kapal telah hanyut dari posisi asal kapal bersauh di mana sebelum itu kesemua kru termasuk nakhoda telah pulang ke negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aminuddin berkata, berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan selain faktor keselamatan, khidmat Pasukan Tindakan Khas (PTK) telah digunakan bagi melakukan pemeriksaan.

“Terdahulu, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) yang ditugaskan ke lokasi telah cuba menghubungi kapal tangki tersebut melalui panggilan radio dan pembesar suara, namun tiada maklum balas diterima sementara kapal tersebut disyaki telah ditinggalkan,” katanya.

Beliau berkata, semakan turut dilakukan dengan pihak Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Jabatan Laut Malaysia di mana didapati tiada rekod mengenai kapal tangki berkenaan serta pemilik kapal dikesan.

“Bagi memastikan keselamatan kapal-kapal lain yang melalui kawasan tersebut, difahamkan pihak Jabatan Laut telah mengeluarkan maklumat keselamatan pelayaran secara berterusan kepada kapal-kapal yang melalui kawasan itu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus